Baltimore – Sekumpulan doktor pakar menemui gigi tumbuh dalam otak seorang bayi lelaki berusia empat bulan dan berjaya mengeluarkannya melalui pembedahan, lapor sebuah jurnal perubatan kelmarin
Jurnal Perubatan New England dalam laporannya menyatakan, gigi bayi itu kelihatan tumbuh awal daripada sepatutnya tetapi bukan di mulut, sebaliknya dalam otaknya akibat daripada sejenis tumor otak yang jarang berlaku, tetapi ada pada bayi itu.
Jalani imbasan MRI
Bayi itu yang berasal dari Maryland, mula menarik perhatian doktor selepas pemeriksaan kesihatan rutin menunjukkan kepalanya membesar lebih cepat berbanding kanak-kanak seusianya. Bayi itu kemudian menjalani pemeriksaan imbasan MRI yang menunjukkan tumor itu mengandungi struktur putih kecil yang kelihatan seperti gigi.
Sebaik doktor menyedari ada sesuatu yang pelik di dalam otak bayi itu, mereka melakukan pembedahan untuk mengeluarkan tumor berkenaan.
“Ketika mengeluarkan sel tumor yang berbahaya itu, doktor terkejut apabila mendapati kandungan dalam tumor itu adalah gigi yang sudah terbentuk sepenuhnya seperti yang terdapat pada rahang bahagian bawah,” lapor jurnal berkenaan
Doktor mengesan tumor itu berhampiran kelenjar pituitari bayi itu, berukuran 4.1 sentimeter. Ujian selanjutnya ke atas tisu tumor itu menunjukkan ia adalah ‘adamantinomatous craniopharyngioma’, sejenis tumor otak tidak berjangkit yang jarang ditemui tapi mampu membesar sehingga sebesar bola golf.
Pakar bedah neurologi Universiti Pusat Perubatan Maryland, Dr Narlin Beaty yang menjalankan pembedahan itu memberitahu Live Science: “Jarang ditemui gigi dalam mana-mana tumor otak. Ia craniopharyngioma, yang jarang didengar”.
“Bayi itu sekarang semakin pulih daripada pembedahan yang berjaya mengeluarkan sel tumor itu,” kata salah seorang doktor yang merawatnya. Bagaimanapun dia masih menjalani pemeriksaan rutin MRI sebagai sebahagian rawatan untuk memastikan dia bertambah baik.
“Dia semakin bertambah baik. Terdapat tumor besar betul-betul di tengah otaknya. Jika sebelum era pembedahan moden, kanak-kanak seperti ini mungkin tidak boleh diselamatkan,” kata Beaty. – AGENSI
No comments
Post a Comment