LANGKAWI: Tahun 2014 merupakan tahun Melawat Malaysia. Namun, salah satu destinasi tarikan utama pelancong ditutup kepada orang ramai.
Jambatan Gantung Panorama Langkawi yang merupakan antara jambatan paling menggerunkan di dunia telah ditutup hampir 20 bulan kerana kelewatan dalam mendapatkan dana dan perunding luar untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
Penutupan itu mengecewakan kebanyakan pelancong sama ada di dalam mahupun luar negara yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di atas jambatan gantung sepanjang 700 meter di atas paras laut dari Gunung Mat Chinchang.
Jambatan tersebut yang merupakan sebahagian daripada projek kereta kabel bernilai RM80 juta dijangka hanya dibuka pada lewat tahun ini.
Friends of Langkawi Geopark atau FLAG berkata kebanyakan pelancong asing khususnya amat kecewa kerana mereka sanggup terbang ke negeri itu untuk merasai pengalaman melalui jambatan gantung tersebut.
Timbalan Presidennya, Pishol Ishak berkata; "kami tahu apa yang mereka katakan kerana mereka sentiasa mengadu kepada kami."
No comments
Post a Comment