KEMAMAN: Ujian getir dihadapi sebuah keluarga mangsa banjir apabila rumah mereka bukan saja hanyut, malah terbelah dua selepas dibadai arus deras dalam kejadian di Kampung Batu 10, Pasir Gajah, di sini, pada 3 Disember lalu.
Lebih menyayat hati, rumah papan empat bilik milik mangsa, Zailati Zakaria, 37, dan suaminya, Mohamad Mahmood, 41, bersama tiga anak mereka, Nur Kamalia, 13, Amir Nurfarhan, 10 serta Arif Zarif, 2, musnah sekelip mata selepas 14 tahun mendiami kawasan berkenaan.
Menceritakan kejadian disifatkan paling dahsyat sejak menetap di kawasan itu, Zailati berkata, kisah sedih menimpa keluarganya bermula jam 6.30 petang pada 3 Disember lalu apabila rumah mereka dinaiki air selepas hujan tidak berhenti sejak pagi.
“Semua ahli keluarga saya berada di rumah dan air naik dengan cepat, saya hanya sempat mengambil dokumen penting.
“Kami terpaksa menumpang rumah jiran dan nasib tidak menyebelahi apabila rumah jiran turut dinaiki air pada sebelah malam,” katanya yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di surau kampung berkenaan.
Suri rumah itu berkata, mereka sekeluarga bersama jiran kemudian berpindah ke surau berkenaan yang terletak di atas bukit kira-kira 100 meter dari rumah.
“Keesokannya, saya dan suami pergi menjenguk rumah terkejutnya kami apabila mendapati ia sudah terapung berikutan banjir yang melanda.
“Luluh hati saya melihatkan rumah kami dalam keadaan sedemikian, namun apa boleh kami lakukan, hanya berserah kepada Allah.
“Kami hanya tinggal sehelai sepinggang ketika ini kerana tidak sempat membawa apa-apa kecuali dokumen penting,” katanya yang memaklumkan bahawa suaminya bekerja sebagai pemandu bas.
Menurutnya, ujian dihadapi keluarganya tidak berakhir di situ kerana pada Khamis lalu, rumah mereka terbelah dua selepas dibadai arus air banjir.
“Saya dan suami sedih bukan saja rumah kami terapung dan hanyut, malah terbelah dua ditolak air yang turun daripada bukit,” katanya.
Zailati berkata, sebelum ini rumah mereka yang terletak di kawasan rendah itu pernah dinaiki air pada tahun lalu, namun tidak seteruk kali ini.
-Harian Metro
No comments
Post a Comment