PETALING JAYA: Gara-gara status Datuk Siti Nurhaliza Tarudin
yang menegur Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) menerusi
akaun Twitter miliknya, pengikut kedua-dua selebriti itu berbalah
sehingga ada di antara mereka mengeluarkan kata-kata kurang manis.
Kebanyakan status Twitter lebih dilihat menghentam Siti apabila
mereka menyifatkan penyanyi itu tidak sepatutnya mengeluarkan status
berkenaan kepada seorang menteri.
"Kalau dah orang tua tak faham bahasa ini, kena lantang sedikit. Oh
lupa, akak (Siti) tidak pernah beratur beli tiket," kata salah seorang
pengikut Khairy.
Pada Selasa lalu, Siti melalui akaun Twitter miliknya @CTNurhaliza11
telah menegur Khairy dengan menyifatkan menteri itu terlalu lantang
menegur sesuatu dan perbuatan tersebut dilihatnya seolah-olah agak
biadab terhadap pemimpin yang lebih veteran.
Siti kepada sebuah akhbar pada Rabu berkata, beliau sekadar menegur
kerana perkataan ‘budak suruhan’ yang dikatakan oleh Khairy i agak
kurang manis apatah lagi beliau merupakan seorang menteri muda yang
dipandang tinggi.
Terdahulu Khairy telah mengkritik bekas kapten skuad kebangsaan,
Datuk Jamal Nasir apabila menyifatkannya sebagai ‘budak suruhan’
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Dalam pada itu, pengikut Twitter Khairy (@Khairykj) meminta Siti
supaya tidak masuk campur dengan perbalahan tersebut selain menganggap
Siti kurang peka mengenai perasaan penonton bola sepak negara.
Bagaimanapun peminat Siti dilihat lebih berhemah dalam membalas
komen-komen peminat Khairy dengan mengatakan mereka tidak faham maksud
yang cuba disampaikan oleh penyanyi itu.
"Datuk Siti tegur tentang hormat antara tua dan muda. Tiada kaitan
dengan politik atau bola. Yang beri respons, pandai baca ke tidak?" kata
salah seorang pengikut Twitter Siti.
Dalam pada itu Siti Nurhaliza yang dihubungi melalui pengurusnya,
Rozi Razak pada Rabu bagi mengulas mengenai perbalahan berkenaan enggan
memberi komen kerana tidak mahu perkara itu terus berpanjangan.
No comments
Post a Comment