PETALING JAYA: Penyanyi dan pengacara Selamat Pagi Malaysia
(SPM) di RTM Iesya Toh memberi tempoh dua hari bermula Khamis kepada
individu yang telah menyebarkan fitnah terhadapnya agar tampil memohon
maaf secara terbuka.
Iesya atau nama penuhnya Nor Iesyatirradiah Sanny Toh, 29, berkata,
tindakan saman akan diambil jika individu yang juga pengikut Twitter
miliknya gagal berbuat demikian.
"Dia fitnah saya di laman sosial Twitter dengan mendakwa saya
mempunyai hubungan sulit dengan beberapa orang kenamaan dan melakukan
aktiviti tidak bermoral.
"Pada asalnya dia mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat dan maki
hamun saya serta memporak-perandakan kelab peminat saya selepas dia
tidak dijemput untuk menyertai aktiviti yang dianjurkan kelab peminat
saya," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Rabu.
Iesya berkata, dia kini sedang berbincang dengan peguamnya dan akan
mengumpulkan beberapa bukti untuk mengheret individu tersebut ke muka
pengadilan sebagai memberi pengajaran kepadanya.
"Dia menggunakan nama Nursyuhada dalam akaun Twitternya dan pada
asalnya berpura-pura sebagai peminat namun lama kelamaan dia mula
membuat onar dan menghasut peminat saya dengan memburukkan saya.
"Saya ingin dia hentikan tindakan dia yang suka membuat fitnah yang
turut dilakukan kepada Hanez Suraya dan artis-artis yang lain,"
katanya.
Sementara itu, Iesya berkata, dia telah membuat satu laporan polis
terhadap kes tersebut di Balai Polis Kelana Jaya di sini pada petang
Rabu.
Jelas Iesya, fitnah tersebut telah menjatuhkan maruah dan menjejaskan reputasinya sebagai seorang artis.
No comments
Post a Comment