PETALING JAYA: Penyanyi Alif Satar ada meminta pandangan dan
nasihat daripada penyanyi Tomok dalam usahanya untuk mengahwini kekasih
yang enam tahun lebih tua daripadanya iaitu Shadila, 29.
Alif, 23, berkata, dia sudah bersedia untuk bergelar suami dan
seterusnya berada dalam dunia rumah tangga yang lebih mencabar walaupun
usianya masih muda.
"Insya-Allah jika semuanya berjalan lancar dan diizinkan tahun depan saya akan mendirikan rumah tangga.
"Saya ada bertanya dan minta nasihat daripada Tomok tentang kehidupan
selepas berkahwin pada usia muda terutamanya dengan isteri yang lebih
berusia kerana Tomok telah melalui pengalaman berkahwin dengan wanita
yang lima tahun lebih tua," katanya kepada mStar Online.
Tambah Alif, keluarganya turut merestui untuk dia menamatkan zaman bujang pada usia muda.
Biarpun enam tahun perbezaan usia, Alif menganggap ia bukan satu masalah dan halangan dalam mencapai persefahaman.
“Saya tidak merasakan perbezaan usia tersebut. Jarak usia bukanlah
penghalang dalam sesuatu hubungan tetapi persefahaman itu yang penting
untuk memastikan hubungan cinta akan kekal,” katanya
Sementara itu, bercakap soal kerjaya, Alif yang mengendalikan program realiti kanak-kanak Idola Kecil 6 ini mengakui bidang pengacaraan menjadi pilihan keduanya selepas nyanyian.
"Saya sudah lima musim mengendalikan rancangan ini dan Alhamdulillah saya semakin selesa dengan bidang pengacaraan.
"Selain program kanak-kanak ini, saya juga akan muncul dalam program travelog iaitu 24 Jam Bersama Alif Satar yang bakal disiarkan pada Januari depan," katanya.
Dalam pada itu, dia turut akan melancarkan album terbaharu berjudul Definisi pada 20 November ini.
No comments
Post a Comment