Select Menu

Isu Semasa

Hiburan

Global

Pelancongan

Performance

Pelbagai

Misteri Sejarah

Informasi

» » Sejarah Kesultanan Melayu Perak
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post





Perak telah terbukti wujud pada zaman pra sejarah lagi. Dianggarkan negeri Perak telah diduduki oleh manusia zaman batu lama semenjak 400,000 hingga 8,000 tahun sebelum masihi lagi.

Prasejarah
Penemuan arkeologi di Kota Tampan di Lenggong membuktikan terdapatnya penempatan manusia Zaman Batu Lama Tanah Melayu.
Malah satu rangka fosil telah dijumpai yang digelar Perak Man. Jumpaan dari carigali menunjukkan negeri Perak diduduki secara terus menerus sepanjang Zaman Hoabinhian seterusnya Zaman Batu Baru dan Zaman Logam.
Selepas itu Perak juga dijangkakan mengalami zaman Hindu/Buddha, yang tersebar secara menyeluruh semua kawasan di Tanah Melayu.

Asal Usul Nama

Berbagai-bagai tafsiran telah dibuat mengenai pengambilan nama “PERAK” sebagai sebuah negeri yang besar.
* Menurut satu cerita yang menarik sebagaimana yang dititahkan sendiri oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Idris A’fifullah Shah (Sultan Perak ke-33) mengatakan di zaman kerajaan Melayu Melaka sebelum wujudnya nama NEGERI PERAK, Negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak di bawah pemerintahan Tun Saban). Manjung dan Beruas dibawah takluk Melaka. Penghulu Manjung ketika itu ialah Tok Mahsuka. 

Dikatakan ketiga-tiga Ketua Daerah telah bermesyuarat untuk menyatukan daerah-daerah mereka menjadi satu negeri dengan memakai nama yang khusus. Mereka bercadang untuk menamakan MELAKA tetapi didapati tidak begitu sesuai kerana Negeri Melaka masih wujud walaupun dibawah kekuasaan Portugis. 

Lantas mereka teringatkan pula bahawa salah satu punca utama yang membawa kepada keunggulan, kebesaran dan keharuman nama Melaka ialah peranan dan tanggung jawab Bendahara Tun Perak. Maka ketiga-tiga Ketua Daerah tersebut bersetuju untuk menamakan negeri baru ini sebagai Negeri Perak. Oleh sebab pada ketika itu Negeri Perak belum mempunyai Raja lalu Tok Mahsuka berkehendakkan supaya Negeri baru ini mempunyai Raja yang berdaulat.

* Hikayat Merong Mahawangsa pula mengatakan bahawa nama Negeri Perak ini ada kaitannya dengan cerita putera Raja Marong Mahapudi Sat yang di katakan telah pergi meneroka untuk membuka sebuah negeri baru, Putera tersebut telah sampai sebuah sungai besar dan terdapat pula bertasik, melingkungi tiga atau empat buah pulau. Putera tersebut telah berkata.. ” Tempat ini elok dijadikan sebuah negeri…”, lalu baginda pun memanah ke udara dengan menggunakan sebilah anak panah yang diperbuat daripada ‘perak’ dan busarnya dinamakan ‘Indera Sakti’. Apabila anak panah tersebut jatuh terjunam ke atas sebuah daripada pulau-pulau yang berkenaan maka dinamakanlah tempat itu sebagai Pulau Indera Sakti dan negerinya dinamakan Negeri Perak.
* Dalam cerita-cerita yang lain terdapat juga kisah-kisah saperti : seekor ikan Haruan besar mengicah-ngicah anaknya hingga air sungai menjadi keruh putih berkilat saperti perak.
* Warna bijih timah yang putih berkilat apabila dipanah cahaya matahari dan berbagai-bagai cerita lagi.
Adunan daripada fakta sejarah dan unsur lagenda hingga terciptanya nama ‘Negeri Perak’ itu menggambarkan bahawa pemilihan nama “PERAK” itu sangat bertetapan dengan kekayaan khazanah yang dikandungi oleh bumi Perak itu sendiri. Justeru kekayaan ini lah pergolakan sejarah Negeri Perak semakin bergelora satelah empayar Kerajaan Melayu Melaka berpecah pada tahun 1511 dan munculnya kuasa-kuasa Portugis, Acheh, Bugis, Siam, Minangkabau, Belanda dan akhir sekali Inggeris yang berkeliaran di merata perairan Nusantara ini.

Kerajaan Purba

Menoleh kembali ke zaman silam Negeri Perak akan terjelmalah berbagai-bagai gambaran cetusan sejarahnya yang menjadi mutiara pusaka bumi Perak yang tiada ternilai harganya. Sebagai salah sebuah Negeri Melayu yang tertua, Negeri Perak telah melalui liku-liku zamannya sejak sebelum menjelangnya tahun masehi lagi.

Sebelum munculnya nama “Negeri Perak” Kitab “Sejarah Melayu” ada menceritakan nama-nama kerajaan atau negeri seperti Gangga Negara yang sekarangnya terletak di jajahan Dinding, Beruas dan Manjung yang masih kekal namanya hingga sekarang. Penemuan monumen-monumen bersejarah peninggalan zaman tersebut telah menggambarkan kegemilangan sejarahnya tersendiri yang masih tersembunyi dari penglihatan dan pengamatan generasi di zaman moden ini.

Lanjutan Kesultanan Melaka

Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap di Kampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak. Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan di kurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak.

Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka dan apabila sampai di Kuala Sungai Perak di suatu tempat bernama ‘Beting Beras Basah’, bahtera Raja Muzzafar Shah telah terdampar di atas sebuah beting dan tidak dapat di mudik. Tiba-tiba angin ribut datang dengan laut yang bergelora. Berbagai ikhtiar dibuat namun bahtera baginda tetap tidak berganjak. Maka di situlah baginda berseru dengan melafazkan kata-kata :-
Selilit Tanah Minangkabau, Selengkung Pulau Perca, Dilengkung ular Saktimuna, Sebenarnya Aku keturunan Raja, Jauhkan segala malapetaka, Perpisahan Aku di Selat Melaka….’
Sebaik sahaja baginda habis melafazkan kata-kata itu, tiba-tiba muncul ‘JIN’ yang sangat besar sahingga mencecah awan yang tinggi. Jin tersebut telah berkata kepada baginda…. Sekiranya Tuanku hendak bersemayam dan memerintah Negeri Perak ini, hendaklah Tuanku buangkan Mahkota Tuanku kedalam laut……
Maka Raja Muzzaffar pun mengambil mahkota baginda dan dibuangkan kedalam laut. Secara tiba-tiba laut yang bergelora menjadi tenang dan beting yang timbul hilang dari pandangan. Satelah itu barulah bahtera baginda boleh belayar semula dan mudik ke Air Mati. Disana lah baginda di tabalkan dan tempat baginda bersemayam itu dinamakan Tanah Abang.
Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang. Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Pusat pemerintahan

Pusat pemerintahan Sultan Perak adalah juga istana Sultan Perak. Istana sultan berubah-ubah dari Hilir Perak hingga ke Kuala Kangsar. Kebanyakan tempat-tempat ini terletak di tebing sebelah kanan Sungai Perak. Di sekitar Kampung Gajah memang banyak sekali makam-makam Sultan Perak.

Di antara pusat-pusat pemerintahan yang ada tercatat di dalam sejarah ialah :-

1. Tanah Abang – iaitu ditepi Sungai Perak yang sekarang di panggil Air Mati ,di dalam Mukim Bota, Makam Sultan Muzzaffar Shah 1 (Sultan Perak Pertama)
2. Kota Lama Kanan
3. Geronggong dalam Mukim Pulau Tiga,Kampung Gajah
4. Semat dalam Mukim Senggang,
5. Bota Kanan atau disebut juga sebagai Brahman Indera
6. Pulau Tiga, Kampung Gajah
7. Pulau Cempaka Sari di Parit
8. Pulau Indera Sakti di kuala Sungai Kinta , Kampung Gajah
9. Pasir Pulai Indera Mulia , Kampung Gajah
10. Bandar Baharu , Kampung Gajah – pejabat JWW Birch , British
11. Pasir Panjang, Kampung Gajah
12. Durian Sebatang, Teluk Intan – Sultan Abdullah Muhamad Shah 1874
13. Sayong, Kuala Kangsar
14. Batak Rabit, Teluk Intan

dan akhir sekali di Bukit Chandan, Kuala Kangsar iaitu semasa zaman Sultan Idris Murshidul Adzam Shah di tabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 28.
Sultan Perak dari pertama hingga sekarang..

1. Sultan Mudzaffar Shah 1
2. Sultan Mansur Shah
3. Sultan Ahmad Tajuddin
4. Sultan Tajul Ariffin
5. Sultan Alauddin Shah
6. Sultan Mahmud Shah
7. Sultan Mudzaffar Shah 2
8. Sultan Mahmud Iskandar Shah
9. Sultan Alauddin Mughayat Shah
10. Sultan Mudzaffar Shah 3
11. Sultan Muhammad Shah
12. Sultan Iskandar Dzulkarnain
13. Sultan Mahmud Shah
14. Sultan Alauddin Mansor Shah
15. Sultan Ahmadin Shah
16. Sultan Abdul Malek Mansor Shah
17. Sultan Muda Raja Ahmad
18. Sultan Abdullah Muazzam Shah
19. Sultan Shahabuddin Riayat Shah
20. Sultan Abdullah Muhammad Shah
21. Sultan Jaafar Mua’zzam Shah
22. Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah
23. Sultan Abdullah Muhammad 2
24. Sultan Yussuf Sharifuddin Mudzaffar Shah
25. Sultan Idris Murshidul’azam Shah
26. Sultan Abdul JalilKaramatullah Shah
27. Sultan Iskandar Shah
28. Sultan Abdul Aziz Al-Mustasim Billal Shah
29. Sultan Yussuf Izzuddin Shah
30. Sultan Idris Iskandar Shah 2
31. Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Istana Sultan Perak
Istana Kayangan

Pada peringkat awal ,tidak ada istana kukuh daripada batu yang dibina untuk Sultan Perak bersemayam. Istana Sultan Perak cuma rumah yang dibina daripada kayu yang bermutu tinggi sahaja yang dibina di tepi Sungai Perak. Kawasan tepi sungai Perak terutama di Hilir Perak ,kmemang tidak ada kawasan berbukit-bukau.

Apabila Raja Idris ditabalkan menjadi Sultan dalam tahun 1877, baginda telah membuat istana di atas sebuah bukit berhampiran dengan Batang Hari kerana Sayong selalu sahaja di tenggelami air apabila Sungai Perak bah. Akhirnya bukit tersebut dinamakan Baginda dengan sebutan Bukit Chandan, gelarannya Seri Andalan.

Menurut ceritanya nama ini adalah mengambil sempena nama seekor gajah Sultan Yusuf yang bernama Kulup Chandan. Kononnya pada suatu hari gajah Kulub Chandan ini telah lari lalu Raja Idris (ketika itu sebagai Raja Muda) bersama juak-juaknya keluar mengikuti jejak-jejak gajah tersebut hingga sampai ke kaki Gunung Bubu. Setibanya disini baginda telah bertembung dengan seorang tua berjanggut panjang yang memakai jubah putih. Dengan tidak semena-mena orang tua tersebut datang sembah lalu berkata…

” Tuanku adalah bakal menjadi Sultan Perak dan manakala tuanku telah ditabalkan menjadi Sultan kelak, jangan lah bersemayam di Sayong lagi tetapi hendaklah tuanku membuat istana diatas bukit yangdi pinggir Batang Hari Perak. Maka gajah yang bernama Kulup Chandan itu hendaklah tuanku bebaskan tujuh hari selepas daripada pertabalan tuanku itu….”
Diringkaskan cerita, maka Raja Idris pun ditabalkanlah menjadi Sultan Perak yang ke 28 dan segala pesanan ‘orang tua’ tersebut telah ditunaikan oleh baginda. Mulai dari tarikh itu kekal lah nama Bukit Chandan sebagai tempat terletaknya istana rasmi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.

Sistem Pemerintahan

Di zaman pemerintahan silam, sistem pemerintahan Kesultanan Negeri Perak masih meneruskan konsep ketradisionalan Kesultanan Melayu Melaka dengan sedikit perubahan dan penyesuaian dengan keadaan negeri dan masyarakat. Sistem gelaran Orang-Besar-Besar Negeri masih mewarisi Kesultanan Melaka tetapi terdapat sedikit perubahan iaitu dengan mengwujudkan gelaran-gelaran baharu saperti Orang Besar Lapan, Enam Belas dan Tiga Puluh Dua disamping mengekalkan konsep gelaran dan fungsi Orang Besar Empat Kesultanan Melaka. Tetapi gelaran Orang Besar Empat ini juga telah di ubah mengikut kesesuaian zaman dan masyarakat dan sekarang gelaran ini di kenali sebagai :-

* Tengku Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja wakil al Sultan Wazir Kabir.
* Tengku Orang Kaya Besar Maharaja Di Raja.
* Tengku Orang Kaya Temenggung Paduka Raja.
* Tengku Orang Kaya Menteri Paduka Tuan.

Di zaman pemerintahan Sultan Muzzaffar Shah jawatan Bendahara Paduka Raja telah disandang oleh Megat Terawis.
Megat Terawis dikatakan berasal dari kerabat di raja Pagar Ruyong (Minangkabau) yang datang ke Perak bersama-sama Sultan Muzzaffar Shah dari Kampar. Sultan Muzzaffar Shah telah melantik beliau sebagai Bendahara bagi mengantikan Tun Muhammad setelah Megat Terawis berjaya menghapuskan Tun Saban yang bersengketa dengan baginda.

Corak pemerintahan tradisional ini walau pun dari kacamata barat dianggap sebagai amalam feudal yang tidak demokrasi tetapi jika diteliti dari segi pentadbirannya jelas menunjukkan bahawa sistem pemerintahan demokrasi telah lama dipraktikkan di Negeri Perak sebelum Inggeris menerjah masuk. Ini dapat dilihat dalam sistem perlantikan Sultan, pembesar negeri dan strultur pemerintahan itu sendiri.

Sejak dari perlantikan tersebut keturunan Megat telah memegang jawatan Bendahara Perak hinggalah akhir kurun ke 18 apabila Bendahara Megat Abu Kassim menyerahkan balik jawatan tersebut kepada Sultan Iskandar Zulkarnain kerana satu perbalahan.

Di zaman pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756-1770) Negeri Perak menempuh kegemilangan sejarahnya. Zaman ini lah disifatkan oleh ahli-ahli sejarah sebagai zaman keemasan. Hakikat ini dapat dilihat daripada catatan yang terdapat didalam Hikayat Misa Melayu yang menceritakan dengan jelas khusus mengenai zaman tersebut dan perihal kebijaksanaan kepimpinan dan kegagahan baginda memerintah negeri. Syair “Sultan Perak Melawat Jajahan Takluknya” sebagaimana yang terdapat didalam hikayat ini adalah satu contoh yang begitu terkenal lagi menggambarkan keadaan pemerintahan dan masyarakat di zaman tersebut.

About Unknown

PERINGATAN: Blogbahni tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri
«
Next
Newer Post
»
Previous
Older Post

No comments