ALOR GAJAH – Akibat merampas kekasih orang lain, seorang wanita warga Indonesia dibunuh dan mayatnya dicampak ke dalam perigi sebelum dibakar di ladang tembikai susu, Solok Menggong di sini.
Mayat Endang Mariani Muhammad Rau, 28,
hanya ditemui selepas tiga hari oleh pemilik ladang berkenaan kira-kira
6.30 petang kelmarin selepas terhidu bau busuk berdekatan kawasan
kejadian.
Wanita dari Lombok Barat, Indonesia itu
dipercayai dibunuh oleh suspek yang cemburu, setelah mangsa menjalin
hubungan sulit dengan lelaki berusia 30-an .
Selain itu, mangsa dikatakan membawa tinggal kekasihnya itu di rumah yang juga kebetulan didiami suspek.
Suspek berusia 29 tahun kemudian
bertindak keluar dari rumah berkenaan namun pada masa sama dipercayai
merancang untuk membalas dendam hingga membawa kepada pembunuhan mangsa
yang bekerja di ladang cendawan, Bukit Hantu, Lendu.
Menurut sumber, dipercayai
gara-gara cemburu dengan hubungan itu, mangsa dibunuh di rumah tersebut
pada Jumaat lalu sebelum dibawa ke ladang berkenaan dengan menaiki
sebuah kereta Perodua Viva milik lelaki tempatan dan dicampak ke dalam
perigi sedalam lima meter sebelum dibakar menggunakan kayu dan petrol
sehingga rentung,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor
Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, pihaknya ke
tempat kejadian selepas menerima maklumat daripada seorang wanita yang
juga pemilik ladang berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, mayat wanita
yang rentung 90 peratus sehingga tinggal tulang dan tengkorak itu
dipercayai dibakar di dalam perigi berkenaan selepas dibunuh di tempat
lain.
“Susulan kejadian, kurang 12 jam
penemuan mayat, empat lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 23
hingga 39 tahun bersama seorang lagi wanita Indonesia berusia 29 tahun
ditahan dalam dua serbuan berasingan di Semabok dan Rembia,” katanya
ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini,
semalam.
Umar berkata, tiga lelaki Indonesia dan
wanita yang ditahan antara jam 1 dan 8 pagi semalam adalah rakan serumah
mangsa, manakala lelaki tempatan berusia 39 tahun yang bekerja sebagai
pemandu lori itu adalah kenalan semua suspek.
“Mangsa bekerja di ladang cendawan di
Lendu dan Ahad lalu majikannya ada membuat laporan berhubung mangsa yang
tidak datang bekerja disyaki melarikan diri.
“Siasatan mendapati cemburu antara suspek wanita dan si mati menjadi motif pembunuhan berkenaan.
“Si mati dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang lelaki warganegara sama yang ditahan,” katanya.
Menurutnya, penangkapan kelima-lima suspek telah hampir berjaya menyelesaikan kes tersebut.
Bagaimanapun, pihaknya kini masih
memburu seorang lelaki juga warga Indonesia yang dipercayai boleh
membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Semua suspek ditahan reman tujuh hari
bermula semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan
kerana membunuh,” katanya. – Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment