TIGA orang terbunuh apabila sebuah kenderaan SUV merempuh kumpulan pelancong di Dataran Tiananmen di Beijing, China hari ini.
Kenderaan itu turut terbakar selepas merempuh kumpulan pelancong itu.
Kejadian berlaku berdekatan sebuah potret Mao Zedong.
Sekeping foto disebarkan di laman sosial di China menunjukkan kereta SUV berkenaan sedang terbakar dijilat api berserta asap hitam berkepul berhampiran gambar pengasas parti komunis China itu.
Ia berlaku berhadapan dengan tembok Istana Kota Larangan yang terkenal sebagai istana Maharaja Cina ketika zaman pemerintahan dinasti.
Menurut polis dalam satu kenyataan, sebuah jeep merempuh penghadang jalan di Jambatan Jinshui kemudian terbakar.
Turut disahkan, tiga orang yang berada di dalam jeep berkenaan termasuk pemandu meninggal dunia.
Menurut laporan agensi berita Xinhua, 11 orang antaranya polis dan pelancong pula cedera ekoran kemalangan itu.
Mereka dihantar ke hospital berhampiran untuk rawatan lanjut.
Sebuah stesen keretapi bawah tanah berhampiran lokasi kejadian juga ditutup atas arahan polis.
Seorang pelancong Itali berusia 56 tahun yang sedang melawat Kota Larangan kemudian didatangi pihak anggota polis pada waktu tengahari dan mengarahkan beliau dan semua pelancong untuk beredar dari situ.
No comments
Post a Comment