KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelawak Zizan Razak menganggap kontroversi laguBawaku Pergi yang dikatakan menggalakkan remaja lari dari rumah tidak pernah mematahkannya semangat untuk mempertaruhkan lagu terbaharunya berjudul Infiniti Cinta.
Zizan, 29, berkata, Infiniti Cinta merupakan bukti kepada kesungguhannya dalam memperjuangkan muzik sebagai seorang penyanyi.
"Saya tidak pernah patah semangat dengan kontroversi lagu Bawaku Pergi sebaliknya ia membuatkan saya ingin terus berkarya.
"Infiniti Cinta merupakan kesinambungan kepada lagu Bawaku Pergi dan pada saya setiap kontroversi ada baik dan buruknya," katanya pada sidang media pelancaran video klip lagu berkenaan di Menara HSC, Jalan Ampang di sini, Rabu.
Lagu ini merupakan lagu duet keduanya bersama penyanyi Kaka Azraff selepas Bawaku Pergi.
Tambah Zizan, lagu yang baru dilancarkan Julai lalu ini telah mendapat maklum balas positif dan diterima pendengar.
"Alhamdulillah lagu ini tidak mengambil tempoh yang lama untuk disedari kewujudannya. Saya dimaklumkan ia sudah berada di tangga atas carta radio-radio tempatan.
"Setakat ini juga tiada lagi komen negatif atau bau-bau kontroversi terhadap lagu ini," katanya.
Sementara itu, video klip Infiniti Cinta yang baharu sahaja dilancarkan pada Rabu, merupakan arahan Ghaz Abu Bakar.
Muzik video ini menceritakan tentang seorang chef yang jatuh cinta dengan seorang pelanggan restorannya.
Menurut Ghaz, muzik video ini memaparkan Kuala Lumpur yang seakan-akan kota New York, Amerika Syarikat.
"Saya mahu muzik video ini lain daripada yang lain dan ingin ia dilihat seperti berada di luar negara.
"Cabarannya ialah terpaksa mengelakkan benda-benda yang sudah biasa dilihat seperti bangunan atau pun kereta seperti Myvi atau Proton," katanya. Mstar
No comments
Post a Comment