PERSATUAN Pemaju Hartanah Perumahan Sabah (Shareda) dan Majlis
Tindakan Pengguna Labuan (LCAC) menjangkakan peningkatan sedikit harga
rumah dan hartanah tahun depan memandangkan kenaikan harga bahan api
baru-baru ini.
Presiden Shareda, Francis Goh berkata, peningkatan itu terutamanya
disebabkan caj pengangkutan 15 peratus seperti dicadangkan oleh
pengusaha pengangkutan di Sabah beberapa hari lalu.
“Sudah pasti akan ada peningkatan sedikit harga hartanah dalam tempoh
beberapa bulan akan datang atau mungkin tahun depan kerana pemilik
kenderaan mungkin perlu belanja tambahan RM100 hingga RM200 bagi bahan
api, tetapi kami tidak dapat nyatakan buat masa sekarang berapa peratus
harga hartanah dijangka naik,” katanya, semalam.
Beliau berkata, peningkatan itu hanya bagi hartanah baru dilancarkan
tetapi bagi yang dalam pembinaan ia tertakluk kepada harga ditetapkan di
bawah perjanjian jual dan beli yang telah ditandatangani.
“Kami tidak boleh naikkan harga hartanah sesuka hati disebabkan
peningkatan kos bahan binaan kerana kami perlu mematuhi peraturan dan
akta perumahan,” katanya.
Pengguna di Labuan dijangka merasai kesan lebih besar kerana pengangkutan bahan binaan dari Sabah akan menambah kepada kos.
Pengerusi LCAC, Fauziah Mohd Din pula berkata, kenaikan harga bahan api akan menjadikan harga hartanah tinggi dalam enam bulan.
“Pengguna telah pun dibebankan dengan harga barangan yang naik lima
hingga 30 peratus dan tidak lama lagi kami akan berdepan dengan kenaikan
harga hartanah. Kami telah pun merasai kenaikan kos hidup di sini,”
katanya.
Menurutnya, harga hartanah Labuan antara tertinggi di negara ini disebabkan tanah yang terhad. – Bernama
No comments
Post a Comment