SEBUT sahaja paparazzi, pasti kita sudah terbayang akan kesungguhan dan aksi mereka mengejar golongan artis bagi mendapatkan foto terkini mereka.
Malangnya, kerana kesungguhan tidak bertempat itu, ada sahaja perkara buruk yang timbul seperti pergaduhan dan juga kemalangan.
Kali ini, artis terkenal, Nicole Kidman pula yang menjadi mangsa kegilaan seorang jurufoto yang dikenali sebagai Carl Wu.
Beliau bukan sahaja dikejar dengan basikal oleh Wu, malah turut dilanggar sehingga terjatuh olehnya.
Kejadian itu berlaku sewaktu Nicole kembali ke hotel selepas menghadiri pertunjukan Calvin Klein yang merupakan salah satu acara pada Minggu Fesyen New York.
Artis itu segera dibantu oleh pembantunya dan juga pengawal keselamatan yang bertugas.
Nicole yang kemudiannya dilihat mengusap kaki kanannya dipercayai mengalami sedikit kesakitan segera dibawa masuk ke dalam hotel.
Pihak polis dan ambulans turut dihubungi susulan kejadian itu.
Setakat ini, Wu berkemungkinan akan didakwa atas kesalahan menunggang basikal di kawasan pejalan kaki.
No comments
Post a Comment