GEORGETOWN – Jika dilihat dari luar, sebuah premis makanan popular dilihat bersih dan menenangkan namun siapa sangka, kedai yang menjadi pilihan orang ramai itu rupanya memiliki tempat penyediaan makanan yang kotor selain tidak diuruskan dengan baik oleh pemiliknya.
Bukan sahaja sampah dan sisa makanan bertaburan di kawasan dapur, pemantauan yang dilakukan juga mendapati ada peniaga yang menyimpan alatan memasak di dalam bekas yang dipenuhi lipas selain bahan mentah yang ingin dimasak hanya diletakan di atas lantai.
Pemeriksaan juga mendapati penyimpanan bahan mentah juga disimpan dalam kadar suhu yang tidak betul di dalam peti penyimpanan makanan.
Dalam operasi yang dilakukan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri dengan kerjasama Unit Inspektorat dan Perundangan Awam serta Bahagian Kesihatan Awam semalam mendapati masih ramai peniaga yang gagal menyediakan persekitaran dapur yang baik selain gagal mengamalkan cara pengendalian makanan yang bersih dan selamat.
Operasi yang dijalankan di seluruh negeri ini bermula jam 9 pagi turut mendapat kerjasama Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Operasi pemeriksaan dan penutupan premis makanan yang dijalankan fasa keempat itu dilakukan susulan daripada pemantauan yang dilakukan sepasukan pegawai khas Jabatan Kesihatan Negeri setelah mendapati terdapat beberapa kedai yang dikenal pasti sebagai tidak bersih.
Disebabkan gagal mematuhi tahap kebersihan yang memuaskan, sebanyak 14 restoran diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 dan 53 pengendali makanan dikompaun atas pelbagai kesalahan.
Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Jabatan Kesihatan Negeri, Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, dalam operasi berkenaan, sebanyak 35 premis diperiksa.
Menurutnya, kesemua pemilik premis yang diarahkan ditutup perlu melakukan kerja-kerja pembersihan dan hanya boleh dibuka sekiranya pihak Jabatan Kesihatan Negeri berpuas hati dengan tahap kebersihan kedai berkenaan.
“Pemantauan akan dilakukan secara berterusan bagi memastikan kebersihan premis di negeri ini berada pada tahap baik dan memuaskan.
“Jabatan Kesihatan Negeri berharap pengusaha makanan mempunyai kesedaran terhadap tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan supaya ia sentiasa bersih dan selamat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ku Nafishah berkata, aspek yang perlu diambil berat pengusaha premis makanan ialah pembuangan sampah dan sisa makanan, pembersihan peralatan dapur dan premis, penyimpanan bahan mentah pada tempat dan suhu yang betul selain amalan penyediaan makanan yang bersih dan selamat.
Katanya, pihaknya berharap pelanggan dapat menilai dahulu tahap kebersihan sesebuah premis makanan sebelum menikmati hidangan di kedai berkenaan bagi mengelakkan sebarang penyakit termasuk keracunan makanan.
“Kita dapati aduan daripada pengguna semakin meningkat dan pengguna sudah bijak membuat penilaian.
“Selain dari premis yang bersih, pengguna harus memilih pengendali makanan yang mengamalkan ciri-ciri kebersihan seperti memakai apron dan penutup kepala,” katanya.
Ku Nafishah berkata, orang ramai yang ingin membuat aduan atau menyalurkan maklumat mengenai kebersihan premis makanan boleh menghubungi talian aduan di 04-2017277. – MOHD ISKANDAR OTHMAN/Sinar Harian
No comments
Post a Comment