Kabul – Selebriti wanita dari Afghanistan, Aryana Sayeed yang dipilih sebagai juri untuk program reality The Voice, hidup dalam ketakutan selepas menerima beberapa ugutan bunuh kerana menjadi penyanyi.
Malah ketika Aryana menjalani rakaman untuk program The Voicen di Kabul bagi stesen TV Tolo, beberapa pengawal bersenjata diarah berkawal dan bersiap sedia jika berlaku sebarang perkara tidak diingini.
“Saya menerima banyak mesej daripada orang ramai bahawa mereka mahu membunuh saya atau mencurahkan asid ke muka saya.Mereka meminta saya berhenti menyanyi.
“Culik adalah perkataan yang sering bermain di minda saya. Lebih baik mati daripada diculik,’’katanya.
Bagaimanapun Aryana yang berusia 28 tahun itu, enggan mengalah sebaliknya mahu menjalani kehidupan dengan melakukan aktiviti harian secara bebas.
“Saya mahu membuat perubahan kepada kaum wanita. Saya mahu wanita juga mempunyai hak untuk bersuara, bergerak dan boleh membeli belah jika mereka mahu.
“Saya tidak maksudkan agar mereka membuka tudung namun mereka sepatutnya bebas untuk hidup sebagai manusia,’’ katanya.
Aryana turut memberitahu, ketika menjadi juri The Voice di Kabul, dia terpaksa berhati-hati ketika memberikan komen kerana bimbang ia akan menjadi satu isu yang besar.
“Saya harus berhati-hati kerana semua pergerakan dan pertuturan saya diperhatikan.
“Jika saya memberi komen ` saya cintakan kamu kerana kamu sangat hebat’ kepada remaja lelaki berusia 15 tahun, maka ia pasti akan mengundang masalah kerana ia bukan sesuatu yang normal di Afghanistan,’’ katanya.
Aryana dilahirkan di Afghanistan sebelum berpindah ke Pakistan ketika kanak-kanak sebelum berhijrah ke Eropah.
Dia kini membahagikan masanya antara Kabul dan London.
No comments
Post a Comment