PETALING JAYA – Penyanyi Ameng (Spring) mengakui merindui suasana menyambut Hari Raya bersama keluarga dan sahabat handai di luar setelah hampir dua tahun menjalani hukuman penjara.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 45 berkata, suasana beraya di sebalik tirai besi berbeza dan hanya diselubungi dengan perasaan sedih kerana beraya bersendirian.
“Segalanya berbeza, di luar sana saya pernah hidup sebebas-bebasnya, namun di sebalik tirai besi ini perjalanan hidup seratus peratus berubah, namun saya memperoleh banyak pengajaran dan hidayah,”
“Alhamdulillahlah pada hari perayaan kami diberi ruang untuk menerima kunjungan ahli keluarga dan rakan-rakan selain dihidangkan dengan makanan yang agak istimewa berbanding hari-hari lain.
“Anak dan isteri juga ada datang melawat, sokongan moral sebegini menguatkan lagi iltizam saya untuk terus berubah dan menghadapi pelbagai cabaran di sini”, katanya ketika menerima kunjungan daripada Persatuan Karyawan Malaysia di Penjara Kluang pada Isnin lalu.
Turut hadir Pengarah Penjara Kluang, Timbalan Komisioner Penjara (TKPj) Mat Rashid Jahlil dan Pengurus Besar Karyawan, Ahmad Abdullah.
Dalam pada itu, Ameng turut mengingatkan golongan artis agar tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
“Kedua-duanya adalah entiti berbeza, ramai beranggapan dengan dadah kita akan mendapat tenaga yang lebih ketika berkarya walhal majoriti golongan seni yang berjaya dan hebat adalah kerana personaliti yang tiada kena mengena dengan najis dadah.
“Lihat saja (Datuk) Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah, mereka tetap hebat dan mantap tanpa dadah,” katanya.
Ameng ditahan di Penjara Kluang, Johor bagi menjalani hukuman penjara lapan tahun dan 10 bulan, serta dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah. - mStar Online
No comments
Post a Comment