YASMIN Yusuff, yang pernah mewakili Malaysia ke Miss Universe di Acapulco pada 1978, memperlihatkan pendirian kurang bersetuju apabila gadis Melayu beragama Islam tidak dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik.
Dalam kenyataannya kepada Daily Chilli, Yasmin seakan-akan menyindir apabila menyatakan lebih baik pertandingan ratu cantik ditukar saja namanya kepada pertandingan ‘Miss Malaysia Bukan Melayu’ (Miss Malaysia For Non-Malays) jika hak bertanding gadis Melayu dinafikan.
Tambahnya, gadis Melayu sangat cantik malah mempunyai peluang bergelar Miss Universe sekiranya dibenarkan masuk bertanding dalam pertandingan yang menjadi idaman ramai gadis itu.
Pendapat Yasmin disokong seorang lagi wanita Islam yang terlibat mengarah program TV realiti berjudul The Next Miss Universe Malaysia, Elyna Effendi.
Elyna berpendapat, perkara ini (tak benarkan bertanding ratu cantik) suatu yang memalukan. Akibatnya kata Elyna: “Ada wanita yang sangat cantik tapi mungkin tak mahu ikut bertanding disebabkan terpaksa akur dengan sesetengah persepsi dan kepercayaan.”
Minggu lalu, 4 peserta beragama Islam terpaksa disingkirkan daripada pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World ekoran fatwa dikeluarkan pada 1996 melarang wanita Melayu dan Islam menyertai pertandingan sebegini. Wanita yang berkeras melakukannya boleh dikenakan tindakan oleh Mahkamah Syariah.
Justeru, 3 daripada peserta berkenaan iaitu Wafa Johanna De Korte, 19, Miera Sheikh, 19, dan Sara Amelia Bernard, 20, mengeluarkan kenyataan memohon maaf sementara Kathrina Ridzuan, 23, tidak dapat dihubungi.
Sekiranya mereka semua dibenarkan bertanding tempoh hari, bermakna ia mengakhiri tempoh sedekad hanya wanita bukan Islam yang berbangsa Cina, India dan lain-lain menjadi wakil Malaysia dalam pertandingan ratu cantik peringkat antarabangsa selepas kali terakhir ia diserta Erra Fazira pada 1992.
Sementara itu penasihat untuk pertandingan X Top Model, Kenji Chan berpendapat, kalau pun keempat-empat gadis yang masuk bertanding itu mendakwa tidak tahu mereka melakukan kesalahan dengan masuk bertandingan ratu cantik, hampir semua rakyat Malaysia sebenarnya sudah maklum akan hal ini.
Bagaimanapun, dia memuji tindakan yang disifatkannya mampu membuka minda sesetengah orang.
Jason Hee, pengasas dan penganjur Miss Malaysia Kebaya pula menganggap tegahan ini membunuh ‘industri’ ratu cantik. Dia memberi contoh bagaimana Yasmin Yusuff dan pelakon terkenal, Erra Fazira, antara bekas peserta yang berjaya pada hari ini disebabkan memasuki pertandingan berkenaan sebagai batu loncatan.
Jason bagaimanapun, menegaskan pertandingan ratu kebayanya yang kini masuk tahun ketiga tidak tertakluk pada fatwa yang dikuatkuasakan itu kerana ia lebih dekat kepada pertandingan ‘ratu budaya’ berbanding ‘ratu cantik’ dan mendapat lampu hijau daripada Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan.
Persatuan Sisters In Islam (SIS) pula seperti biasa, mengeluarkan kenyataan dari sudut membela hak wanita. Pembelaan mereka dibuat bersandarkan jaminan penganjur bahawa pakaian renang tidak akan dipertandingkan sebaliknya diganti dengan pakaian sukan dalam pertandingan kelak.
Bagaimanapun di sebalik semua komen menghentam larangan menyertai pertandingan ratu cantik yang secara jelas dibuat tanpa mengambil kira hukum mutlak aurat dalam Islam yang menjadi sebab utama fatwa dikeluarkan; baik daripada mulut orang Islam mahu pun bukan Islam di atas — komen Elaine Daly mungkin paling sedap didengar.
Miss Malaysia Universe 2003 ini berkata, dalam masyarakat berbilang kaum negara ini sememangnya molek jika semua wanita diberikan hak sama rata untuk masuk bertanding ratu cantik. Begitu pun, terdapat undang-undang yang mesti dipatuhi dalam hal ini dan semua pihak mesti menghormati sensitiviti semua orang.
No comments
Post a Comment