Platform digital bukan lagi asing untuk diperkatakan sekarang. Hampir kesemua dari kita memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial seperti Facebook dan Twitter bukan? Menyedari kepentingan teknologi sebagai wahana komunikasi, penyanyi tersohor tanahair Datuk Siti Nurhaliza telah melancarkan laman sesawang rasmi tentang dirinya pada Jumaat lalu.
Laman sesawang yang dinamakan sebagai Siti Nurhaliza Official (SNO) ini buat pertama kalinya menggabungkan tiga entiti terpenting dalam kerjaya pelantun ‘Biarlah Rahsia’ ini iaitu Siti Nurhaliza Productions (SNP), Simplysiti dan juga kelab peminatnya SitiZoners di dalam satu platform digital yang bukan sahaja efektif tetapi berupaya membantu perkembangan kerjaya Siti sendiri.
Majlis yang diadakan di Sakura Kristal Café, Taman Melawati itu dihadiri tetamu serta rakan-rakan media selain daripada pemenang bertuah peraduan Simplysiti. Diacarakan oleh Zain Saidin yang juga model muzik video ‘Lebih Indah’, majlis ini memberi peluang kepada tetamu untuk mengetahui lebih lanjut keistimewaan laman web rasmi, www.simplysiti.com.my
Siti Nurhaliza Official (SNO) menghimpunkan bukan sahaja berita mengenai kerjaya seninya, malahan semua maklumat berkenaan kosmetik Simplysiti. Laman web rasmi yang mengangkat slogan ‘Socialize.Entertain.Shop’ ini merupakan projek yang diuruskan anak tirinya sendiri, Asyraf Khalid.
“ Siti Nurhaliza merupakan nama besar di Malaysia, maka perlu untuk kita wujudkan satu saluran untuk semua peminat mengetahui apa yang terbaru mengenainya. Banyak perancangan yang akan kita lakukan dengan menggunakan medium digital ini,”ujar Asyraf yang bertindak selaku Ketua Media Baru SNP.
Lebih istimewa, SNO juga bakal mengadakan sesi ‘chat’ di antara Siti dengan peminat-peminat setianya. Malah, koleksi peribadi Siti seperti baju dan aksesori akan dilelong secara eksklusif hanya di SNO. Pembelian barangan Simplysiti secara ‘online’ juga boleh dilakukan di laman web ini. Paling penting, pengguna yang mendaftar selaku ahli Sitizoners di laman web ini bakal menerima diskaun istimewa untuk pembelian produk Simplysiti.
Tidak cukup dengan itu, laman web rasmi ini akan menampilkan persembahan akustik eksklusif Siti Nurhaliza dengan selebriti terkenal tanahair. Antara artis yang sudah pun membuat rakaman bersamanya adalah Aizat. Pada majlis pelancaran itu juga, Siti telah berduet bersama Awi Rafael secara akustik mendendangkan lagu ‘Galau’ dan ‘Asalkan Aku OK’.
Sumber: Gua.com.my
No comments
Post a Comment