KULIM – Tindakan pasangan kekasih cuba melampiaskan nafsu di dalam kereta yang diletakkan berhampiran semak di Taman Tasek Kulim gagal apabila mereka dicekup oleh anggota polis yang melakukan pemeriksaan di kawasan berkenaan kira-kira jam 3 pagi semalam.
Ketika pemeriksaan dilakukan, pasangan kekasih berkenaan sedang berbaring di dalam kereta sebelum bergegas bangun sambil membetulkan pakaian masing-masing.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, curiga dengan keadaan kereta berkenaan, sepasukan anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) diketuai Timbalan Ketua Balai Polis Kulim, Sub Inspektor Mohd Najib Abd Aziz melakukan pemeriksaan.
Menurutnya, dari semakan yang dibuat, pasangan kekasih itu tidak mempunyai sebarang rekod lampau jenayah dan diarahkan beredar dari kawasan semak berkenaan.
“Tindakan pasangan kekasih berkenaan yang dipercayai cuba untuk melampiaskan nafsu di kawasan semak berkenaan amat dikesali.
“Tindakan pasangan kekasih berkenaan yang dipercayai cuba untuk melampiaskan nafsu di kawasan semak berkenaan amat dikesali.
“Walaupun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau namun tindakan sebegini mampu mengundang pelbagai kegiatan jenayah yang lain,” katanya kepada Sinar Harian.
Ghuzlan berkata, pihaknya turut menasihatkan pasangan kekasih supaya tidak berpelesiran di sekitar kawasan Taman Tasek Kulim dan tempat terselindung terutama pada waktu lewat malam.
Katanya, pihaknya bimbang sekiranya kegiatan ini akan menyebabkan berlakunya kes lain seperti disamun oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.
“Polis akan menahan sesiapa sahaja untuk pemeriksaan sekiranya berada dalam keadaan mencurigakan. Ini adalah untuk memastikan mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak diancam oleh mana-mana pihak.
“Tindakan duduk di dalam kereta berdua-duaan di tempat terselindung boleh mendatangkan pelbagai masalah. Mereka boleh disamun dan kemungkinan terlibat dalam jenayah rogol. Saya menyarankan supaya mereka pergi ke kawasan yang cerah dan mempunyai orang supaya senang meminta pertolongan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. - Sinar Harian Online
No comments
Post a Comment