SEPANJANG bergelar artis dan mengembangkan kerjaya di Malaysia, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz sememangnya tidak sudah-sudah dilanda dengan pelbagai kontroversi.
Ditambah pula isu pergaduhan Aliff dengan pelakon kontroversi Zarina Anjoulie, percintaannya bersama pelakon Anne Ngasri yang kemudian putus dan hubungan mesranya bersama penyanyi Adira.
Terkini, Aliff sekali lagi disambar kontroversi apabila dalam ruangan gosip sebuah akhbar baru-baru ini menampilkan cerita kurang enak mengenai masalah disiplin artis kelahiran Singapura itu.
Aliff dikatakan selalu berada dalam khayal atau 'lalok', menghilangkan diri dari lokasi penggambaran, datang lambat ketika membuat persembahan nyanyian dan enggan menghadiri sesi fotografi yang diaturkan.
Bagi mendapatkan penjelasan sebenar mengenai perkara tersebut, Kosmo! telah menghubungi Aliff yang menjawab dengan profesional terhadap segala tuduhan yang dilemparkan kepada dirinya itu.
Dia juga turut memberikan komen tentang status terkini hubungannya dengan Adira.
Kosmo!: Adakah benar dakwaan yang mengatakan Aliff kini selalu khayal atau lalok?
ALIFF: Tentang tuduhan yang mengatakan saya khayal atau lalok itu, saya anggap itu semua berpunca daripada salah sangka. Mungkin orang yang melihat saya berkeadaan sebegitu tidak tahu bahawa saya berada dalam keadaan yang terlalu letih. Sejak awal tahun ini tawaran yang saya terima sama ada membuat persembahan nyanyian dan berlakon memang tidak putus-putus dan sekarang saya terlalu sibuk dengan kerja.
Bolehkah komen tentang ada pihak yang tidak berpuas hati apabila Aliff dikatakan sering hilang daripada lokasi penggambaran?
Sebenarnya perkara itu merupakan salah faham kerana sekiranya hendak pergi ke mana-mana, saya akan minta izin terlebih dulu kepada penolong pengarah. Lagipun saya menghilangkan diri bukanlah semasa waktu bekerja. Misalnya, kalau saya berada di lokasi penggambaran pukul 3 petang, tetapi babak penggambaran yang membabitkan diri saya ditangguhkan kepada pukul 6 petang, saya akan minta izin untuk pergi ke mana-mana dan akan kembali semula ke lokasi tepat pada masanya.
ANTARA foto-foto kemesraan Aliff dan Adira yang tersebar di internet baru-baru ini. |
Cuma berkenaan dengan datang lambat semasa membuat persembahan nyanyian, perkara itu memang berlaku dan bukanlah selalu terjadi. Namun begitu, ia terjadi kerana saya terlajak tidur akibat terlalu penat bekerja dan saya ingin meminta maaf atas segala kejadian yang berlaku sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak.
Apakah yang membuatkan Aliff bersetuju menerima setiap tawaran dalam kerjaya seni?
Pada tahun ini seboleh-bolehnya saya mahu memberi fokus yang lebih banyak kepada kerjaya seni. Mungkin orang akan melihat saya tamak, tetapi ia merupakan salah satu cara untuk saya melupakan segala kontroversi yang berlaku dahulu.
Adakah Aliff kini mahu melupakan bidang nyanyian setelah sering berlakon?
Sudah tentu nyanyian masih lagi menjadi keutamaan buat diri saya, cuma saya kini berasa semakin seronok berlakon. Pada tahun ini, saya bakal melahirkan album keempat dan ia sedang dalam proses pembikinan.
Ceritakan sedikit tentang perkembangan terkini kerjaya lakonan Aliff?
Saya baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Epilog Cinta Kirana bersama beberapa pelakon lain seperti Nazim Othman dan Tasha Shilla. Drama berkenaan bakal disiarkan bermula 10 April ini di TV3. Selain itu, saya juga memegang watak utama dalam telefilem bertajuk Nurul Kasihbergandingan dengan Aida Aris dan kini sedang menjalani penggambaran drama berjudul Gerhanauntuk RTM.
Bagaimanakah pula status terkini hubungan Aliff dengan Adira khususnya apabila Adira baru-baru ini digosip keluar dating dengan seorang lelaki sambil diiringi dua pengawal peribadi?
Apa yang saya boleh katakan saya dan Adira masih lagi berkawan seperti biasa dan tiada sebarang hubungan istimewa yang terjalin antara kami setakat ini.
No comments
Post a Comment