Laporan portal berita Daily Express menyebut, Harris mengutus surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar menghentikan operasi ke atas masyarakat Suluk di Lahad Datu dan Semporna itu.
Menurut laporan itu, Harris mendakwa diminta berbuat demikian oleh beberapa orang pemimpin masyarakat tersebut.
"Pemimpin Suluk ini melaporkan bahawa polis mengambil kad pengenalan, kad pengenalan mereka dan dokumen IMM3 (orang Suluk) dan memusnahkannya.
“Ini tidak wajar bagi pasukan polis Malaysia. Perbuatan ini bertentangan dengan apa jua tamadun yang diketahui, mahupun dari segi agama, undang-undang dan dasar kerajaan Malaysia,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Harris dalam laporan itu juga berkata, polis tidak berkuasa untuk memusnahkan apa-apa dokumen kerajaan persekutuan.
“Mereka hanya boleh berbuat demikian selepas mendapat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya lagi.
Tindakan itu juga akan menimbulkan lebih banyak permusuhan di antara orang Suluk dan Sabah, tambahnya.
Kenyataannya itu timbul susulan dakwaan dilaporkan media Filipina mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi yang dilakukan pasukan keselamatan Malaysia dalam operasi di pantai timur Sabah.
Portal Inquirer Global Nation pada hari Sabtu lalu yang memetik seorang pemimpin Sulu melaporkan, pasukan keselamatan Malaysia menyerbu kediaman warga berkenaan di Sabah dan memusnahkan dokumen tersebut.
Datuk Bandar Jolo, Sulu itu mendakwa, golongan yang memiliki dokumen yang sah seperti pasport dan dokumen pengenalan juga tidak terkecuali.
"Dokumen ini didakwa dikoyak di hadapan mereka," katanya.
Beliau turut mendakwa, warga berkenaan dipaksa berlari sebelum ditembak.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada hari Selasa lalu dilaporkan menafikan dakwaan berhubung tembakan berkenaan.
No comments
Post a Comment