London: Polis dipercayai merampas komputer milik seorang wanita muda yang cedera parah dalam serangan asid kerana mencurigai dia mungkin mencederakan dirinya sendiri.
Namun, keluarganya bimbang polis tidak membuat yang terbaik untuk menangkap pesalah itu dan hanya menumpukan kepada sesi ‘soal siasat tak masuk akal.’
Naomi Oni, 20, cedera parah ekoran insiden yang berlaku ketika dia pulang dari tempat kerja pada akhir tahun lalu sebelum dimasukkan ke hospital hampir sebulan untuk rawatan.
Polis mengambil komputer riba Naomi dan dikatakan menemui bukti bahawa wanita muda itu telah membuat pencarian di Internet mengenai serangan asid sebelum insiden malang itu menimpanya.
Pencarian dikatakan termasuk maklumat mengenai Katie Piper, bekas model yang berkempen untuk mangsa yang berwajah cacat sejak dia sendiri menjadi mangsa serangan asid pada 2008.
Polis dikatakan menyoal saudara-mara Naomi untuk mengetahui sama ada dia mencederakan dirinya sendiri, tetapi teman lelakinya Ato Owede, 23, menganggap soal siasat itu ‘gila.’
Dia memberitahu Sunday Times: “Polis perlu terus menyiasat.
“Mereka menumpukan kepada perkara yang salah berikutan pencarian Naomi mengenai maklumat serangan asid dan perkara seumpamanya.
“Mereka membuat kesimpulan yang bodoh,” katanya.
Naomi mengalami cedera parah di muka, kaki, lengan dan kepala dan separuh buta selepas seorang yang memakai purdah menyimbah asid ke arahnya ketika dia berjalan pulang ke kediamannya di Dagenham ekoran tugas syif malam di kedai Victoria Secret di pusat beli-belah Westfield di Stratford.
Dia juga kehilangan rambut dan bulu mata dalam insiden itu serta terpaksa menjalani beberapa pembedahan sejak kejadian terbabit.
Doktor pada awalnya bimbang dia mungkin buta sepenuhnya, tetapi selepas mengikuti rawatan intensif di unit khas, mata kirinya boleh melihat semula, manakala mata kanannya separuh buta. - Sunday Mail
No comments
Post a Comment