Admin ke Pejabat Pos untuk mengeluarkan duit. Duit tersebut ingin admin gunakan pula esok untuk membuka akaun baru di bank tempat Jessica bekerja. Membuka akaun itu sebenarnya perkara kedua. Apa yang penting esok adalah bertemu dengan Jessica.
Di Pejabat Pos, setelah selesai mengeluarkan duit, admin bertemu dengan sepasang suami isteri warga tua yang sedang dalam kebingungan kerana tidak tahu mengisi borang menyimpan duit. Seperti biasa, admin masukkan tangan ke dalam poket dan mendongak ke atas lalu berjalan perlahan ke arah pasangan warga tua tersebut.
Sampai kepada pasangan tersebut, dengan ‘cool’nya admin menyandarkan bahu admin ke dinding lalu mengecilkan mata sambil tersenyum miring melihat mereka.
“Ada apa-apa masalah, pakcik? Kalau ada, boleh saya bantu?” Admin bertanya sambil meniru suara dan loghat Dato’ Yusof Haslam dalam Gerak Khas. Semua orang di dalam Pejabat Pos termasuk Pegawai Pos di dalam kaunter ternganga melihat ke arah admin. Mungkin mereka tidak menyangka seorang Jejaka Balah Tangah mempunyai suara seperti seorang ketua polis.
Melihat keadaan itu, admin sengaja memalingkan muka ke tempat lain seperti gadis-gadis dalam iklan syampu sambil mengecilkan mata. Biar mereka dapat melihat betapa beralunnya Balah Tangah admin.
“Wahhh!” Terdengar suara sekumpulan gadis dengan nada yang sungguh kagum. Admin menolehkan kepala lagi, kali ini ke arah dari mana datangnya suara tersebut. “Uhhh!” Suara kagum gadis-gadis itu terdengar lagi. Rupa-rupanya suara itu milik sekumpulan lebih kurang 8 orang gadis berbaju Melayu dengan warna yang sama.
Dari agensi mana, admin sendiripun tidak mengetahuinya. Admin perhatikan satu-persatu gadis tersebut dengan mata yang dikecilkan sambil tersenyum miring. Mulut mereka terbuka dan mata mereka juga sedikit membesar kerana kagum melihat admin.
“Makcik mahu simpan duit, tapi tidak pandai mengisi borang ini,” makcik tua menyahut pertanyaan admin. Dengan sepenuh keikhlasan jiwa dan raga, maka adminpun menolonglah pasangan tersebut.
“Terima kasih nak,” kata makcik tersebut. Suaminya, seorang pakcik Balah Siring langsung tidak bersuara. Malah, sekali-sekala admin ternampak jelingannya agak tajam ke arah admin.
“Sama-sama makcik, pakcik.” Kata admin sambil memusingkan diri untuk berlalu pergi.
“Bagus anak muda itu. Kalau buat menantu mesti bahagia anak kita.” Terdengar suara makcik tersebut memuji admin. Segera admin menoleh semula ke belakang dan mengangkat kening 2 kali laju-laju ke arahnya.
Kelihatan makcik tersebut tertunduk malu dan tersenyum sambil menggigit kuku jari telunjuknya. Matanya menjeling manja ke arah admin. Kelihatan juga pipinya bertukar menjadi merah padam. Terkejut admin. Tiba-tiba suaminya berbatuk kuat.
Apabila admin menoleh ke arah pakcik tua tersebut, kelihatan wajahnya sangat marah sambil mengangkat tongkatnya memberi isyarat cuba memukul admin. Bertambah-tambah admin terkejut. Segera admin mendekati pakcik tersebut lalu memegang kedua-dua bahunya.
“Maafkan anakmu ini, pakcik. Tiada niat di hati anakmu yang masih mentah ini untuk cuba berbuat jahat terhadap makcik. Anakmu melakukan semua itu sebagai tanda terima kasih kerana terdengar makcik memuji anakmu yang masih hijau ini. Tapi, kalau pakcik tidak percaya dengan kata-kata anakmu ini, pukullah sepuas hati pakcik.
Anakmu yang belum tahu apa-apa ini rela. Pukullah di mana-manapun badan anakmu ini, tetapi Balah Tangah ini jangan sekali-kali disentuh,” kata admin dengan suara yang sedih memohon maaf sambil cuba berlalu.
“Tunggu sekejap, nak!” Tiba-tiba pakcik tersebut memegang bahu admin untuk cuba menghalang admin pergi. Suaranya terketar-ketar seperti mahu menangis.
“Tidak pakcik! Janganlah dihalang pemergian anak muda ini pakcik! Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu! Dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang saya musafir lalu, saya pergi dulu, pakcik!” Kata admin, kali ini dengan tidak disengajakan telah tertiru pula suara pelakon Nordin Ahmad dalam Seri Mersing sambil berlalu pergi keluar dari Pejabat Pos. Keluar airmata pakcik dan makcik mendengar ucapan admin.
“Wahhh!” Sempat lagi admin terdengar suara kagum daripada kumpulan gadis yang sedang duduk di dalam Pejabat Pos semasa admin keluar.
No comments
Post a Comment