Salam Balah Tangah. Siang tadi admin ke rumah Ah Ling untuk melawatnya yang sakit batuk dan demam. Admin membawa DVD filem Melayu lama lakonan P. Ramlee yang bertajuk Ibu Mertuaku. Sambil meminum kopi yang dihidangkan oleh ibu Ah Ling, admin bersama Ah Ling, ibunya dan seorang adik perempuan Ah Ling menonton DVD yang admin bawa.
Sedih cerita filem tersebut. Walaupun entah sudah berapa puluh kali menonton filem tersebut, airmata admin tetap terkeluar juga. Sedangkan Ah Ling, ibu serta adiknya yang tidak berapa faham dan kadang-kadang bertanya tentang jalan cerita filem tersebut boleh mengeluarkan airmata, inikan pula admin yang cukup faham dengan Bahasa Melayu.
Sejak dari awal filem tersebut dipasang, admin telah memakai topeng kertas ultraman yang admin bawa dari rumah, supaya kalau admin menangispun, Ah Ling dan yang lain-lain tidak akan perasan. Tapi, teknik memakai topeng tersebut tidak menjadi, airmata admin tetap deras mengalir di pipi admin yang cute ini melalui celah-celah topeng tersebut dan menitik melalui dagu admin (Ah Ling yang cakap pipi ini cute, bukan admin).
Selesai menonton Ibu Mertuaku, admin meminta diri untuk pulang, seterusnya pergi ke bandar untuk membeli toolbox baru. Setelah siap membeli toolbox, admin berjalan kaki untuk menuju ke motor kesayangan admin. Tetapi, semasa dalam perjalanan, admin bertemu dengan sekumpulan 3 orang Jejaka Balah Siring yang sedang lepak di atas motor mereka.
“Pewittt, tukang rumah rambut balah p*ntat!” Salah seorang jejaka tersebut berteriak, diikuti dengan suara ketawa dari rakan-rakannya.
Dengan mood yang masih lagi bercelaru kerana filem Ibu Mertuaku, dan dengan mata yang masih lagi merah kerana baru siap menangis, admin menghampiri mereka. Admin perhatikan mereka satu-persatu dengan mata merah yang dikecilkan. Admin menunjuk salah seorang daripada jejaka tersebut dan mengisyaratkan kepadanya supaya turun dari motor.
Setelah dia turun, admin meletakkan toolbox di atas tempat duduk motornya lalu membuka toolbox tersebut. Kemudian, dengan gaya yang gagah, admin tunjukkan di hadapan mereka teknik membalah tangah rambut yang sudah tidak pernah dipraktikkan sekarang ini, iaitu Teknik Sentuhan Maut Balah Tangah sambil menangis kerana teringat semula cerita Ibu Mertuaku tadi.
Selesai membalah tangah, admin menutup kembali toolbox admin lalu cuba untuk berlalu pergi, tetapi telah ditahan oleh ketiga-tiga jejaka tersebut. Satu-persatu dari jejaka tersebut meminta maaf dan memeluk admin sambil menangis. Sampai giliran jejaka yang ketiga, dia terus memeluk admin dengan kuat sambil menyatakan yang dia ingin belajar membalah tangah.
“Mulai hari ini, saya akan mula belajar membalah tangah rambut saya. Tetapi, ada sesuatu yang saya tidak faham. Kenapa saudara menangis semasa membalah tangah tadi?” Kata jejaka ketiga bertanya kepada admin.
“Tidak ada apa-apa, saudara. Airmata saya telah keluar disebabkan oleh Ibu Mertuaku!” Admin menjawab sambil mengelap hingus cair admin yang tiba-tiba terkeluar kerana asyik menangis, lalu meninggalkan ketiga-tiga jejaka tersebut.
“Saudara, beritahu ibu mertua saudara, kami amat terkilan dengan gayanya yang membuat saudara menangis hari ini. Kalau dia menyakiti hati saudara lagi, beritahu saja kami, kami akan mempertahankan saudara, kerana saudara ilham kami!” Tiba-tiba 3 jejaka tersebut berteriak.
Hairan, kenapa mereka berkata demikian? Sejak bila admin berkahwin?
No comments
Post a Comment