Sibu: Bimbang dimarahi suami kerana tidak pulang ke rumah semalaman, seorang wanita sanggup mereka cerita dia diculik bersama seorang rakannya oleh empat lelaki menaiki sebuah van, di sini, kelmarin.
Bagaimanapun, helah wanita berusia 30-an itu memakan diri selepas polis mendapati wujud keraguan dalam laporan dibuatnya sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.
Sumber memberitahu BH, wanita itu sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak yang masih kecil dilaporkan keluar mengikuti seorang lelaki kira-kira jam 8 malam, namun tidak pulang ke rumah.
Pada mulanya cerita dicipta wanita terbabit membuatkan anggota bertugas mengambil laporannya percaya sebelum memaklumkan perkara itu kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah” Sumber
Diculik bersama seorang rakan
Katanya, suspek dilaporkan pulang pada keesokan hari dengan membuat laporan polis pada jam 6 pagi kononnya dia diculik bersama seorang lagi rakan.
“Suspek mula mereka-reka cerita dan memberitahu anggota polis dia bersama rakan diculik sebelum ditinggalkan berdekatan Sibu Gateway pada jam 11 malam tadi (kelmarin).
“Wanita berkenaan turut menceritakan keempat-empat lelaki terbabit turut mengikat tangannya dan rakan selain muka dan mata ditutup menggunakan kain,” katanya.
Sumber berkata, pada mulanya cerita yang dicipta wanita terbabit membuatkan anggota bertugas mengambil laporannya percaya sebelum memaklumkan perkara itu kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah.
“Bagaimanapun, polis mula mengesyaki wanita itu berbohong selepas melihat tiada kesan diikat pada pergelangan tangan mangsa, sekali gus membolehkan dia ditahan.
“Pada masa sama, wanita berkenaan juga dihantar ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan bagi mengesahkan sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati berkemungkinan wanita terbabit membuat laporan palsu kerana takut dimarahi suaminya selepas tidak pulang ke rumah malam kelmarin.
No comments
Post a Comment