Gara-gara merampas telefon seorang wanita yang didakwa mengambil gambar curi, Justin Bieber yang dikecam ramai meluahkan kekesalannya di laman Twitter kerana sering dipersalahkan dan tidak dapat membela diri.
Penyanyi itu menegaskan, beliau lelaki baik yang dibesarkan oleh ibunya, tetapi sering disangka kasar serta dihakimi berikutan sikap orang ramai yang lebih mempercayai desas-desus.
“Saya sukar membela diri walaupun hak peribadi dicerobohi. Ibu saya membesarkan saya untuk bersikap baik terhadap orang lain. Saya dihakimi dan dimalukan, padahal saya cuba melakukan perkara betul biarpun ia bukan perkara mudah. Saya tetap cuba menjadi lelaki diharapkan ibu.
“Jangan percaya khabar angin. Terima kasih kepada mereka yang terus menyokong serta mematangkan hidup saya setiap hari,” katanya yang nyata terpukul dengan kejadian di sebuah pusat hiburan keluarga.
Dalam insiden berkenaan, wanita itu mengambil gambar Bieber yang sedang bermain golf untuk anak gadisnya yang berusia 13 tahun, namun secara tiba-tiba penyanyi itu mendekatinya untuk memadam gambar terbabit.
Disebabkan berang permintaan melihat telefon itu tidak diendahkan, beliau merampasnya dari dalam beg, sekali gus mencetuskan kemarahan peminatnya hingga masing-masing saling berebut.
Wanita terbabit kesal dengan tindakan kasar penyanyi itu memandangkan anaknya yang turut berada di tempat kejadian ketakutan. Perkara itu diadukan kepada pihak polis di atas alasan kekasaran.
Petugas keselamatan hotel pula menafikan Justin memulakan pergaduhan, sebaliknya kedegilan pengadu yang tidak menghiraukan amaran supaya tidak lagi mengambil gambar mencetuskan segala-galanya.
No comments
Post a Comment