Individu berpendapatan bawah RM3,000 di kawasan bandar, layak
mendapat bantuan RM35 sehari menerusi program Baucar Kerja yang diselia
oleh Kementerian Sumber Manusia.
Dilancarkan pada peringkat perintis pada April ini, ia akan
menyaksikan penglibatan seramai 100 peserta yang tergolong di bawah
tahap miskin bandar.
Timbalan Pengarah Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Jabatan Tenaga
Kerja Semenanjung Malaysia (JobsMalaysia), Yusuff Harun berkata bantuan
tambahan tersebut dijangka dapat membantu golongan ini dalam menghadapi
peningkatan kos sara hidup.
“Namun, bantuan itu tidak akan diberikan sewenang-wenangnya.
Mereka harus mendapatkan pekerjaan sambilan bagi melayakkan mereka
mendapat bantuan tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui
baru-baru ini.
“Golongan itu hendaklah mencari kerja sambilan terlebih dahulu, dan kita akan menyumbang sebanyak RM35 sehari.
“Jumlah tersebut boleh dituntut setiap hari atau pun pada setiap
hujung bulan, bergantung kepada keperluan individu tersebut,” katanya.
Program Baucar Kerja menyasarkan golongan bekerja di kawasan bandar
yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, dan individu yang tidak
bekerja.
Ia juga menyasarkan golongan terpinggir seperti bekas banduan, bekas
penagih dadah, warga emas, golongan kurang upaya, Orang Asli dan pelajar
keciciran.
JobsMalaysia akan memastikan pemilihan peserta dilakukan secara
teliti berdasarkan kaedah pemilihan profil dan dirujuk dari pangkalan
e-kasih.
e-kasih merupakan pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di
peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau
program kemiskinan.
Individu yang layak akan dihubungi secara terus, kata Yusuff.
Berdasarkan pangkalan data e-kasih terkini, golongan dalam kumpulan miskin dan miskin tegar kini mencecah 500,000 orang.
Menurut Yusuff, bagi individu yang terikat dengan kontrak pengambilan
pekerja yang tidak membenarkan mereka melakukan dua kerja pada masa
yang sama, JobsMalaysia akan memainkan peranan sebagai orang tengah
untuk berunding dengan majikan bagi membenarkan pekerja untuk melakukan
kerja sambilan.
“Bagaimanapun ia tertakluk kepada akta-akta pekerjaan dan buruh yang berkaitan,” katanya.
No comments
Post a Comment