Bintulu: Dua beradik perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Baru Seberang, Taman Sebiew di sini, petang tadi.
Kebakaran dipercayai berlaku pada jam 1.15 petang mengorbankan Christina Christy anak Eddy serta adiknya Olivia Natasha selepas kedua-dua dilaporkan gagal menyelamatkan diri berikutan api marak.
Ketua Bomba dan Penyelamat Balai Bintulu Di Hatta Gobil berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama abang dan kakaknya di rumah manakala ibu bapa mereka keluar bekerja.
Beliau berkata, bagaimanapun, abang dan kakak mangsa masing-masing berusia enam dan lapan tahun sempat keluar menyelamatkan diri namun mangsa terperangkap sebelum ditemui rentung di dapur.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 1.17 petang sebelum mengerahkan lapan anggota ke lokasi kejadian.
"Bagaimanapun, kami berdepan kekangan kerana jentera tidak boleh memasuki lokasi kejadian berikutan ketiadaan jalan raya.
"Kami terpaksa menggunakan perahu milik penduduk kampung berkenaan untuk membawa peralatan ke lokasi kebakaran dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 2 petang," katanya.
-HM
-HM
No comments
Post a Comment