PETALING JAYA: Pelakon Faizal Hussein menganggap keengganannya membawa watak seorang bapa yang mempunyai anak dewasa sebagai strategi untuk bertahan lama sebagai hero dalam sesebuah drama atau filem.
Faizal, 46, berkata, sebagai pelakon, dia akan memilih watak paling muda dan bersesuaian yang mampu dilakonkannya mengikut kepercayaan yang diberikan oleh pengarah.
"Jika saya ambil watak 'bapa tua' iaitu yang mempunyai anak-anak yang sudah dewasa ia seperti memendekkan jangka hayat saya sebagai seorang hero.
"Sebagai pelakon sudah tentu kita ada strategi kita untuk bertahan lama dalam industri, kalau boleh saya akan pilih watak yang muda daripada usia atau seiring dengan usia sebenar," katanya kepada mStar Online.
Bagaimanpun, kata Faizal, ia turut bergantung kepada sesebuah skrip yang akan dilakonkan.
Faizal berkata, bagi drama Jiwa watak sebagai bapa kepada pelakon Remy Ishak dan Kamal Adli berbeza kerana ia berkisarkan tentang perkembangan watak.
"Drama Jiwa berbeza kerana watak bapa kepada Remy dan Kamal ialah sejak mereka kecil sehingga mereka membesar. Drama tersebut tentang perjalanan kehidupan daripada saya muda hingga anak-anak membesar.
"Saya tidak mahu watak saya awal-awal sudah menjadi bapa kepada anak-anak yang sudah dewasa," katanya.
Dalam pada itu, Faizal berkata, sejak kembali aktif berlakon, dia lebih banyak menerima watak aksi berbading zaman kegemilangannya dahulu yang dikenali dengan watak romantik.
Kata Faizal, dia selesa menerima watak-watak aksi tersebut biarpun terpaksa membuat persediaan lengkap dan menjaga stamina.
"Sekarang lebih banyak menerima watak aksi berbanding belasan tahun dahulu, saya sentiasa menjaga kesihatan dan stamina agar tidak mengecewakan pengarah.
"Selain itu juga, saya ada persedian dan kelengkapan khas untuk berlakon babak-babak aksi agar tidak cedera," katanya.
Faizal bakal bergandingan dengan Remy Ishak dan Kamal Adli dalam drama Jiwa untuk slot Aksi pada setiap Rabu pukul 9 malam bermula 5 Februari depan di TV3.
No comments
Post a Comment