LONDON – Seorang pelajar Britain berusia 16 tahun semalam menjadi individu termuda berjalan kaki ke Kutub Selatan, kata pasukannya.
Lewis Clarke meraikan kejayaan tersebut bersama semangkuk pasta dan keju parmesan yang menjadi hidangan lengkap pertamanya sejak dia mengembara sejauh 1,129 kilometer dari Denmark pada 2 Disember 2013.
Remaja lelaki itu dan pemandu arahnya, Carl Alvey merentasi rantau Antartika menggunakan ski dan tanpa sokongan lain.
Mereka hanya membawa barang makanan semasa melakukan perjalanan jauh dengan menempuh suhu -50° Celsius di bawah paras beku.
“Saya benar-benar gembira dan lega kerana buat kali pertama sejak 48 hari lalu, saya tidak perlu bangun dan mengheret gelongsor salji merentasi lapisan ais dan angin sejuk selama sembilan jam setiap hari,” kata Clarke.
Dua pengembara itu tiba di Kutub Selatan pukul 2 pagi semalam (waktu Malaysia).
Clarke yang melakukan perjalanan sukar itu untuk mengutip dana bagi mengisi tabung yayasan belia Putera Charles, akan pulang ke Britain pada Jumaat ini apabila rekodnya disahkan.
Terdahulu, Guinness World Records menyatakan, rekod orang paling muda berjalan kaki ke Kutub Selatan tanpa bantuan anjing atau kenderaan bermotor dicatat oleh gadis Kanada berumur 18 tahun, Sarah Ann McNair-Landry pada Januari 2005. – AFP
No comments
Post a Comment