KUALA LUMPUR: Spekulasi mengatakan Hujan berpecah membuktikan ia tidak benar apabila kumpulan tersebut telah berjaya memukau seramai 900 penonton yang hadir di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada Isnin.
Vokalis utamanya, Noh Salleh yang tampil dengan pesembahan yang cukup energetik berkata, Hujan tidak akan berpecah memandang mereka memerlukan antara satu sama lain dalam karier seni muzik.
"Konsert ini membuktikan kami masih kukuh bersatu dan insya-Allah kami tidak akan berpecah.
"Kerana para peminat juga, Hujan berada di sini di mana kami tidak sangka mampu sampai ke DFP.
"Masih teringat lagi ketika di awal penubuhan Hujan, kami 'busking' di depan KLCC, tetapi dihalau sekuriti," katanya pada konsert tersebut.
Hujan merupakan kumpulan 'indie' pertama beraksi mengadakan konsert di DFP.
Sebanyak 12 lagu dipersembahkan iaitu Romantik, Lonely Soldier Boy, Empayarmu, Bagaikan Matahari, Kotak Hati, Mencari Konklusi, Dugaannya, Biola Bulan, Pagi Yang Gelap, Aku Skandal, Bila Aku Sudah Tiada dan Kembara selama satu jam 15 minit.
Sebagai menghormati konsep eksklusiviti DFP, susunan muzik rock yang sering dibawakan kumpulan itu diubah kepada muzik yang lebih santai.
Tidak perlu terlalu berusaha, Noh memberikan peluang kepada para peminatnya menyanyikan lagu-lagu mereka dan ia disambut dengan penuh semangat daripada penonton.
Kemantapan vokal Noh juga cukup membanggakan dengan iringan muzik daripada ahli-ahli kumpulannya, Izat (bes) dan AG Coco(gitar) dan Am (dram) selain beberapa pemuzik lain.
Konsert pada malam itu turut diserikan dengan penampilan khas Tiara Jacquelina berduet dengan Noh menerusi lagu Aku Skandal.
Nyata konsert Hujan yang sudah lama dinanti-nantikan peminat cukup berbaloi dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
No comments
Post a Comment