PETALING JAYA: Pelakon Cico Harahap mengesahkan dia sudah pun bercerai dengan bekas isterinya Elle atau nama Islamnya, Nur Fuziani Abdullah pada tiga tahun lalu.
Cico atau nama sebenarnya Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin, 36, berkata, dia merahsiakan perkara tersebut kepada sebelum ini kerana belum bersedia untuk mengesahkan statusnya sebagai duda kepada seorang anak.
"Sebelum ini saya lebih senang untuk berdiam diri tentang status sebenar saya. Dan ya, kini saya seorang bapa tunggal kepada seorang anak. Saya telah bercerai tiga tahun lalu," katanya kepada mStar Online.
Cico dan Elle telah mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2008 di Songkhla, Thailand. Hasil perkahwinan itu mereka mempunyai seorang anak perempuan, Rindu Nur Fitrah, 3.
Tambah anak kepada penyanyi Uji Rashid itu, dia masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga, sebaliknya ingin memberi fokus semula terhadap kerjaya lakonan yang sudah lama ditinggalkannya.
Bagaimanapun, pelakon yang popular dengan filem Puteri Impian itu berkata, dia ada mengenali seorang wanita, namun tidak tahu sama ada wanita itu adalah calon sesuai untuk dijadikan isteri atau tidak.
"Apa-apa pun saya selesa dengan hidup sekarang. Saya ada seorang anak yang buatkan saya ceria selalu dan dia juga sering menemani saya ke set penggambaran.
"Teringat pula zaman saya kecil dulu yang sering mengikut ibu (Uji) mana-mana sahaja yang melibatkan aktiviti kerja seninya," ujar Cico.
Sementara itu, Cico yang sebelum ini menetap di Pulau Tioman melatih penyelam-penyelam skuba berkata, dia mahu membuat kemunculan semula selepas enam tahun tidak muncul di layar perak dan televisyen.
Katanya, memandangkan pada penghujung tahun ini adalah musim tengkujuh, ia memudahkannya lagi untuk menghabiskan masa dengan memenuhi kerja-kerja lakonan dan sebagai permulaan, Cico terlibat dengan drama berjudul Jiwa, arahan Kabir dan Nurhanisyam Muhammad.
"Sekarang ni pun tengah musim tengkujuh, jadi kebetulan ada tawaran berlakon, saya terima.
"Alhamdulillah, ia satu peluang baik apalagi dapat bekerjasama dengan Kabir. Dalam drama ini, saya berlakon sebagai Zul, sahabat baik kepada Iskandar, lakonan Remy Ishak," tuturnya.
Ia mengisahkan perhubungan keluarga dan aksi lawan Muay Thai yang dilakonkan oleh tiga pelakon utama iaitu Faizal Hussein, Remy Ishak dan Kamal Adli.
Jiwa yang turut melibatkan pelakon Siti Elizad, Sheila Mambo dan Liza Shadan ini bakal disiarkan setiap Rabu mulai 5 Februari 2014 b bermula pukul 9 malam di TV3.
No comments
Post a Comment