PASIR PUTEH – Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah ungkapan yang
menggambarkan nasib malang menimpa seorang pemuda yang terlantar sakit
sejak enam bulan lalu, sebelum isterinya menuntut cerai tanpa alasan
munasabah.
Abd Manas Mohamed Noor, 31, yang diserang penyakit jantung dan lumpuh
kini bergantung harap kepada kedua orang tuanya yang dihimpit
kemiskinan.
Akibat penyakit itu, dia pernah koma selama hampir sebulan kini
mengalami kekejangan otot, selain tidak sedarkan diri untuk tempoh
tertentu.
Lebih menyayat hati, apabila dalam keadaan begitu, isterinya yang
berusia 40 tahun dikatakan tidak sanggup berkongsi derita lalu mengambil
keputusan pulang ke negeri asal, Pulau Pinang bersama anak tunggal
berusia lima tahun selepas menuntut cerai daripadanya.
Abd Manas dari Kampung Tualang Rendah dekat sini, pernah bekerja
sebagai pemandu lori di kedai alat pembinaan tetapi terpaksa berhenti
kerana penyakit yang ditanggungnya.
Dia dimasukkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) sebelum dirujuk ke
Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ), Kota Bharu pada 16 Mei lalu,
dalam keadaan koma untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Selama 28 hari, tidak menampakkan tanda dia akan sembuh dan akhirnya
pada 14 Jun lalu, Abd Manas `diminta’ pulang ke rumah oleh pihak
hospital dalam keadaan tengkuknya masih berlubang dibaluti tiup plastik.
Kini dia terlantar di rumah dengan hanya sekali sekala dikunjungi kakitangan perubatan untuk memberi rawatan susulan.
Ibunya, Semah Awang Deraman, 55, berkata, dia bersama suami, Mohamed
Noor Ibrahim, 62, dan anak-anak lain terpaksa menjaganya walaupun mereka
dihimpit kemiskinan.
Menurut Semah, tiada apa yang mampu dilakukan keluarganya sekarang
bagi mengubati penyakit yang dialami Abd Manas, selain memberikan kasih
sayang.
“Makcik dah tak tahu nak buat macam mana, hanya kasih sayang yang
dapat makcik berikan, dia sepatutnya dijaga isteri tapi apa nak buat,
nasib malang terus menimpanya.
“Kami pernah berikhtiar dengan mendapatkan khidmat pakar perubatan
tradisional, selain tidak putus berdoa tapi ia juga belum menunjukkan
tanda-tanda dia akan sembuh,” katanya.
Katanya, walaupun Abd Manas menerima bantuan orang kelainan upaya
RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia hanya
meringankan sedikit bebanan ditanggung.
Semah berkata, selain perbelanjaan keluarga, mereka terpaksa
menyediakan keperluan Abd Manas seperti bekalan susu, ubat-ubatan serta
lampin pakai buang dan jika terdesak, mereka terpaksa meminjam duit
jiran. – Sinar Harian
No comments
Post a Comment