PETALING JAYA: Penyanyi Alif Satar mengakui dia mencemburui
kejayaan Hafiz Suip yang dilihat begitu pantas mengukuhkan kedudukan
sebagai salah seorang artis yang berjaya.
Alif atau nama sebenarnya Alif Mohd Satar, 23, berkata, perasaan
cemburu yang diluahkan itu bagaimanapun bukan satu perkara negatif
sebaliknya kagum dengan pencapaian yang diraih penyanyi yang popular
dengan lagu Bahagiaku Deritamu itu.
"Memang saya sangat mencemburui Hafiz tetapi dalam konteks yang
positif. Kejayaan yang dimilikinya itu merupakan impian saya sejak
berusia 16 tahun lagi.
"Saya rasa iri hati lebih-lebih lagi saya yakin bakat nyanyian yang ada ini mampu melakukan lebih baik," katanya kepada mStar online.
Bagaimanapun tambah Alif, dia terpaksa akur bahawa rezekinya untuk
meraih perhatian dan populariti daripada peminat masih belum tiba.
Dalam pada itu, Alif tertanya-tanya apabila sehingga kini karier
nyanyiannya masih belum stabil tidak seperti mana rakan-rakan seangkatan
dengannya.
Alif turut mengakui terkilan dengan situasi itu apabila bakatnya masih belum dilihat secara meluas oleh masyarakat.
Sementara itu, Alif yang merancang untuk berkahwin dengan kekasihnya
yang dikenali sebagai Shadila, 29, tahun depan yakin kerjaya seni yang
masih lagi dibina tidak mungkin akan terjejas.
Alif sebaliknya menganggap rezekinya sebagai penyanyi mungkin akan lebih luas selepas mendirikan rumah tangga kelak.
"Pada pendapat saya, hal peribadi dan kerja tidak perlu dicampuradukkan dalam kehidupan seharian.
"Dan berkahwin juga tidak mungkin boleh menjejaskan periuk nasi kita
kerana perkahwinan itu adalah salah satu ibadah Dan semestinya selepas
berumahtangga, rezeki juga Insya Allah pasti akan bertambah," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Alif baharu sahaja muncul dengan album terbaharu berjudul Definisi.
No comments
Post a Comment