KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia Datuk Rossa tidak gemar
memanjakan anak tunggalnya, Rizky Langit Ramadhan untuk hidup dalam
suasana kemewahan walaupun beliau berkemampuan berbuat demikian.
Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 35, berkata,
dia juga tidak pernah membeli mainan mahal untuk Rizky, 7, kerana
bimbang anaknya itu tidak akan faham erti kesusahan apabila besar kelak.
"Walaupun dia masih kecil, tetapi saya tidak senangkan dia dengan
membeli barang-barang mewah. Setakat ini barang paling mahal yang saya
belikan ialah iPod jenis biasa untuk dia mendengar lagu.
"Malah telefon bimbit untuk memudahkan saya menghubunginya saya berikan kepada pembantu rumah untuk dijaga," katanya.
Rossa ditemui pada pratonton drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta di Hotel Best Western Premier Dua Sentral di sini pada Khamis.
Bagaimanapun kata Rossa dia tidak menolak kadang kala Rizky berasa
keliru apabila melihat kehidupan glamournya sebagai selebriti.
Malah katanya, anak lelakinya itu sering bertanya dengannya mengenai
layanan istimewa diberikan kepadanya tidak seperti mana ketika berada di
rumah.
"Pernah sekali ketika menghantarnya ke sekolah, dia bersama bekas
suami saya, Yoyo perlu beratur panjang dan dengan pantas dia meminta
ayahnya potong barisan dan berkata 'kitakan artis'.
"Masa itu Yoyo berasa malu takut didengari orang sekeliling tetapi
saya lihat dia semakin faham erti bersikap sederhana," katanya.
Sementara itu, menerusi drama Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Rossa bersama penyanyi Hafiz berduet bagi lagu runut bunyi drama berkenaan berjudul Salahkah.
Bukan Kerana Aku Tak Cinta bakal disiarkan pada setiap Isnin hingga Rabu bermula 9 Disember depan di Astro Mustika HD (saluran 134).
No comments
Post a Comment