KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah dijangka terus
melonjak dengan pelancaran pakej percutian hebat di atas kapal mewah
Superstar Aquarius milik syarikat pelayaran terkemuka, Star Cruises.
Pelancaran pelayaran sulung dari sini bermula Rabu hingga 30 Mac
depan yang menawarkan pelayaran ke Brunei dan Bintulu, Sarawak selama
empat hari tiga malam, berlepas pada setiap Ahad.
Berucap pada majlis perasmian di Pelabuhan Sabah,Teluk Likas di sini
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Masidi
Manjun menyambut baik usaha Star Cruises memperkenalkan pakej itu yang
mampu meningkatkan kemasukan pelancongan asing khususnya dari Taiwan,
Hong Kong dan China.
"Kira-kira 94 peratus kedatangan pelancong ke Sabah adalah menerusi
udara dan dengan adanya perkhidmatan Star Cruises di Sabah, ia pasti
dapat melonjakkan lagi jumlah kedatangan pelancong.
"Sejak sembilan bulan lepas sehingga kini, jumlah kedatangan
pelancong ke Sabah mencatatkan rekod dua kali ganda dan saya yakin
menjelang hujung tahun ini sektor pelancongan di Sabah mampu mencapai
angka perkembangan yang di luar jangkaan," katanya.
Masidi berkata kedatangan pelancong dari negara Asia seperti Taiwan,
Hong Kong dan China mencatatkan rekod yang memberangsangkan tahun ini
iaitu 87 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Star Cruises William Ng berharap
penggunaan pangkalan Star Cruises di Kota Kinabalu juga berupaya
menjadi hab antarabangsa bagi menambah lebih banyak laluan ke destinasi
baharu di masa depan.
"Saya sangat yakin, dengan adanya Star Cruises di sini ia akan
membawa lebih banyak pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah,"
katanya.
Kapal seberat 51,309 tan itu dengan kapasiti 1,500 penumpang pada
satu-satu masa menyajikan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan seperti
spa, salun kecantikan, kedai, kolam renang, gelanggang sukan dan
restoran. - BERNAMA
No comments
Post a Comment