PETALING JAYA: Pelakon Cristina Suzanne menolak dakwaan kononnya dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan lelaki pilihan ibunya kerana kecewa dengan berita mengejut perkahwinan aktor Bront Palarae yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
Cristina, 28, menjelaskan tanggapan itu adalah mengarut kerana keputusannya tersebut adalah atas kehendak dirinya sendiri dan tidak ada kena mengena dengan pelakon itu.
"Saya sendiri sebelum ini tidak tahu dari mana datangnya cerita kami dikatakan bercinta dan tidak benar sama sekali saya ingin berkahwin kerana kecewa dia (Bront) sudah berumah tangga.
"Keputusan untuk menamatkan zaman bujang bukan dipaksa oleh sesiapa atau atas apa-apa situasi tetapi ia adalah keputusan saya sendiri," katanya kepada mStar Online.
Cristina bakal bernikah 22 Januari 2014 iaitu pada hari jadinya yang ke 29 dan majlis akan diadakan di kampung halamannya, Kuantan, Pahang.
Pelakon filem KIL itu sebelum itu mengikat tali pertunangan dengan lelaki tersebut pada 13 Oktober lalu.
Dalam perkembangan lain, Cristina berkata, dia tidak melihat jodohnya yang ditentukan oleh keluarga sebagai perkara kolot tetapi menganggap ia sebagai kebaikkan untuknya.
Tambah Cristina, dia hubungan yang direstui oleh keluarga akan lebih membawa berkat dan paling penting dia dapat menerima lelaki berkenaan sebagai suaminya.
"Jika orang melihat saya dari segi luaran mereka tentu tidak menyangka bahawa saya seorang yang konvensional dan akan berkahwin dengan pilihan keluarga.
"Tetapi saya tidak pernah melihat ia sebagai masalah kerana yakin dengan restu keluarga dan paling penting saya dapat menerima bakal suami dengan hati terbuka dan bukannya kerana terpaksa," jelasnya.
Sementara itu, Cristina berkata, dia tetap dengan pendiriannya untuk tidak mendedahkan mengenai bakal suaminya kepada umum dan berharap peminat memahami kehendaknya.
Jelas Cristina, rumah tangga yang bakal dibina adalah kehidupan peribadinya dan merasakan berhak untuk menjalani kehidupan biasa seperti orang lain.
"Bakal suami hanya orang biasa dan tiada kena mengena dalam bidang ini dan saya lebih selesa untuk tidak bercerita mengenai soal peribadi kepada umum," jelasnya yang dicalonkan dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik Filem menerusi filem KIL di Anugerah Skrin 2013.
Dalam perkembangan lain, Cristina berkata, selain sibuk dengan persiapan perkahwinannya, dia baharu sahaja tamat menjalani penggambaran tiga filem iaitu CEO, Tujuh dan Wanita.
No comments
Post a Comment