PETALING JAYA: Penyanyi Awi Rafael tidak pernah berasa terlalu yakin dalam melakukan sesuatu perkara sebaliknya menanamkan rasa percaya terhadap diri sendiri terutamanya kerjaya dan muzik.
Awi, 27, berkata, pencapaian yang dikecapi sekarang adalah berikutan rasa percaya bahawa dia boleh pergi lebih jauh dalam industri seni muzik negara ini.
"Saya tidak pernah rasa over confident tetapi saya sangat percaya diri saya boleh berada dan bawa muzik saya ini dengan lebih jauh.
"Yakin dan percaya adalah dua perkara yang berbeza, jika kita terlalu yakin kita akan jatuh namun jika kita percaya dengan sesuatu perkara itu kita boleh melakukannya," katanya kepada mStar Online.
Biarpun boleh dikatakan masih baru dalam industri muzik tanah air, namun Awi terharu karya-karya ciptaannya mendapat perhatian dan diterima baik oleh masyarakat.
Malah dia turut bersyukur namanya kini sudah mula mendapat perhatian dan sebaris dengan artis-artis terkenal.
"Alhamdulillah kerjaya semakin baik dan baru-baru ini saya dapat membuat persembahan di Anugerah Planet Muzik di Singapore berkongsi pentas bersama Hafiz Suip dan Cakra Khan. Bagi saya ia adalah satu penghargaan yang sangat bernilai," katanya.
Sementara itu, Awi berkarya, dia kini sedang mencari seorang penyanyi wanita sebagai rakan duet untuk lagu terbaharunya.
"Saya sudah ada lagu tapi masih mencari penyanyi wanita yang sesuai untuk berduet, kalau boleh saya mahu penyanyi yang saya minat suaranya.
"Saya tidak kisah dia popular atau tidak tetapi suara dia sesuai dengan lagu tersebut itu lebih penting," katanya.
Dalam pada itu, Awi berkata, selepas lagu Kalau Aku Kaya, dia akan menumpukan sepenuh perhatian kepada projek albumnya di Indonesia.
"Saya akan ke Indonesia dalam masa terdekat untuk menyiapkan projek bersama kumpulan Samsons," katanya.
No comments
Post a Comment