Kuala Lumpur – Anggota penguatkuasa
Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JIWPKL) terpaksa
‘bergomol’ dengan empat tukang urut wanita warga Vietnam yang bertindak
agresif dalam usaha melepaskan diri daripada kepungan selepas premis
tempat mereka bekerja di sebuah pusat urut refleksologi di Taman
Miharja, Cheras, di sini, diserbu kelmarin.
Bagaimanapun, cubaan empat wanita
terbabit gagal, malah pemeriksaan lanjut mendapati semua mereka
menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk bekerja sebagai tukang urut.
Ketua Bahagian Penguat kuasa JIWPKL,
Penolong Pengarah Imigresen James Musa Singa berkata, keempat-empat
tukang urut terbabit bukan saja menjalankan perkhidmatan urut badan ke
badan (B2B), tetapi turut menawarkan khidmat seks.
“Dua anggota penguat kuasa yang
menjalankan serbuan terlebih dulu menyamar sebagai pelanggan dengan
memerhati operasi premis itu dan aktiviti pelanggan lain.
“Selepas diyakini premis itu mengupah pekerja wanita warga asing, barulah serbuan dibuat,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan Op 6P jam
2.30 petang itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia
23 tahun yang juga penjaga pusat urut refleksologi itu bagi membantu
siasatan.
“Selain itu, dalam operasi sama, kami
turut menyerbu tiga lagi premis yang menjalankan aktiviti urut
refleksologi di Desa Sri Hartamas dan Taman Tun Dr Ismail.
“Seramai 22 warga asing termasuk
pelanggan diperiksa dan hasilnya kami menahan lima lagi wanita warga
China kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63(Pindaan
2002) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. Beliau berkata,
lelaki tempatan yang ditahan pula akan didakwa mengikut Seksyen 55B
akta sama kerana kesalahan mengambil pekerja warga asing yang tidak
memiliki sesuatu pas yang sah. Jika sabit kesalahan boleh didenda
maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 12 bulan.
“Semua warga asing berusia 20 hingga 48
tahun itu kemudian dibawa ke Depoh Tahanan Bahagian Penguatkuasa,
JIWPKL, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Duta untuk
siasatan dan tindakan lanjut,” katanya. – myMetro Online
No comments
Post a Comment