KUALA LUMPUR – Pelakon Haliza Misbun
memberitahu teman lelakinya pernah memutuskan hubungan mereka selama
beberapa bulan selepas mengetahui statusnya sebagai seorang pelakon.
Haliza, 40, berkata, tindakan lelaki
tersebut berbuat demikian kerana bimbang percintaan mereka tidak dapat
berjalan dengan baik kerana status selebriti yang dipegang oleh aktres
itu.
“Sebelum ini dia tidak mengetahui saya
ini seorang pelakon dan saya pula tidak pernah memberitahunya.
Bagaimanapun dia mula hairan apabila setiap kali kami keluar akan ada
orang yang menegur atau pun senyum kepada saya.
“Sejak mengetahui status saya sebagai
seorang selebriti dia mula menjauhkan diri dan memutuskan hubungan
kami,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis pelancaran
novel tulisannya berjudul Cinta Rimau di Publika Solaris Dutamas di
sini, Selasa.
Haliza baru-baru ini mendedahkan sedang
menjalinkan hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan dan lelaki
tersebut telah menghadiahkan sebuah kondominium bernilai RM2 juta
bersempena hari jadinya yang ke 40 pada 14 Mei lalu.
Tambah Haliza, mereka bagaimanapun
kembali berbaik selepas lelaki berkenaan menyedari mereka tidak patut
memutuskan hubungan hanya kerana statusnya.
“Saya faham mengapa dia bertindak
demikian kerana teman lelaki saya seorang yang sangat merendah diri dan
tidak gemar cerita peribadinya menjadi perhatian umum.
“Bagaimanapun masalah itu telah dapat diselesaikan dengan baik dan kami masih bercinta seperti biasa,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Haliza berkata,
dia tidak pasti bila dia akan menamatkan zaman bujangnya namun berharap
hubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan.
Jelas Haliza, dia bukan takut dengan
perkahwinan tetapi cuba membiasakan diri dengan kehidupan berdua kerana
telah terbiasa hidup bersendirian sebelum ini.
“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana
kehidupan selepas berkahwin kerana sudah terbiasa hibup sendiri tanpa
mengharapkan sesiapa.
“Bagaimanapun teman lelaki telah berjaya
menembusi tembok yang paling saya takuti itu dan berharap hubungan ini
akan berakhir dengan ikatan suami isteri,” jelasnya.
Mengulas mengenai hadiah mewah yang
diterimanya, Haliza berkata, pemberian lelaki tersebut adalah ikhlas dan
ia sebagai bukti cinta teman lelaki terhadapnya.
Kata Haliza, ia bukan bererti dia boleh
mengambil kesempatan atas kebaikkan lelaki itu sebaliknya benar-benar
ikhlas mencintai kekasihnya itu.
“Cinta dia kepada saya sangat tulus dan
ikhlas yang tidak ternilai harganya jika dibandingkan dengan harta benda
dan wang. Dia orang yang paling rapat dengan Liza sejak dua tahun
kebelakangan ini,” tuturnya.
Sementara itu, bercakap mengenai novel
pertama hasil tulisannya, Haliza berkata, dia sudah memulakan projek
berkenaan sejak tiga tahun lalu dan keretakan hubungan dengan kekasihnya
sebelum ini telah memberikan lebih sumber inspirasi untuk menyiapkan
novel berkenaan.
Jelas Haliza, hampir 60 peratus isi
novel berkenaan adalah tentang kisah sebenar yang pernah terjadi dalam
hidupnya selain memasukkan elemen-elemen fiksyen.
“Novel ini bukan sekadar mengangkat
kisah percintaan tetapi juga tentang isu anak tidak sah taraf dan agama
yang menjadi tunjang kepada plot penceritaan,” jelasnya.
Tambah Haliza, dia juga bertuah apabila
pihak penerbit iaitu Merpati Jingga memberikan kebebasan kepadanya untuk
menentukan arah buku tersebut tanpa terikat dengan sebarang peraturan
daripada pihak penerbit.
“Sebelum memilih Merpati Jingga sebagai
penerbit saya pernah berbincang dengan sebuah syarikat penerbitan yang
terkenal namun terlalu banyak peraturan yang perlu saya ikut dan ia
sekaligus menghadkan kreativiti saya sebagai penulis,” ujarnya. – mStar Online
No comments
Post a Comment