Rawang - Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) akan mengeluarkan model kereta terbaru pada harga paling murah di pasaran tempatan, tahun depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kereta yang bakal ditawarkan itu juga lebih efisien dengan dilengkapkan ciri keselamatan. “Strategi syarikat untuk mengekalkan kereta paling murah pada 2014 akan diperlihatkan menerusi model terbarunya dengan mutu lebih baik.
“Dengan itu, pengguna dapat memiliki kereta mampu dimiliki dengan ciri yang makin canggih dan aspek keselamatan yang dapat diperkukuhkan pada masa depan,” katanya berucap pada majlis sambutan Gala Raya PERODUA sempena ulang tahun ke-20 syarikat kereta nasional kedua itu di ibu pejabat PERODUA, Sungai Choh, semalam. Faedah kepada rakyat Pada majlis sama, Najib yang juga Menteri Kewangan melancarkan Coffee Table Book 20 PERODUA, selain menerima penyerahan kunci kereta model Alza untuk 1M4U.
Turut hadir Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura; Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan; Presiden Daihatsu Motors Company Japan, Masanori Mitsui; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Aminar Rashid Salleh dan Presiden PERODUA Auto Corporation Sdn Bhd, Yasumitsu Morita. Perdana Menteri berkata, strategi syarikat itu selanjutnya adalah untuk membekalkan kereta kompak bermutu ke pasaran yang dijangka dapat menjadikan PERODUA lebih berdaya saing.
Beliau memuji langkah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menurunkan kos kereta secara beransur-ansur kerana tindakan sukarela ini memberi faedah kepada rakyat. Pelaburan RM1.3 bilion Najib berkata, keadaan pasaran yang makin berdaya saing dan dasar liberalisasi di negara ASEAN dan global, syarikat automotif perlu mengkaji struktur kos dan model perniagaan supaya kekal efisien. “Ini dilakukan PERODUA, terutama dengan terbinanya kilang baru membabitkan pelaburan RM1.3 bilion yang menampilkan tahap kecanggihan tinggi daripada kilang sedia ada, sekali gus menghasilkan model kereta baru yang lebih berdaya saing menggunakan teknologi canggih.
“Dalam tempoh 20 tahun PERODUA berkembang pesat menjadi jenama diiktiraf dan popular di kalangan rakyat, malah jenama ini berpotensi besar bukan saja di dalam tetapi luar negara kerana produk ditawarkan praktikal dan mampu dimiliki sebahagian besar rakyat, termasuk di rantau ini,” katanya. Sumber : Bharian Online
No comments
Post a Comment