Semua orang tahu bahawa Brad Pitt dan Angelina Jolie bertemu di lokasi "Mr. & Mrs. Smith" pada tahun 2003. Sekalipun pada awalnya Angelina menafikan hubungan mereka bermula dari saat itu dan berkeras mengatakan dia tidak akan jadi seperti bapanya yang memusnahkan rumah tangga orang lain, Jolie dan Pitt mengumumkan cinta mereka tidak lama selepas Pitt dan isterinya, Jennifer Aniston berpisah.
Brad Pitt dan Angelina Jolie merupakan antara kisah cinta lokasi yang paling popular di Hollywood, namun tahukah anda bahawa mereka ini juga antara pasangan yang bertemu dengan cara yang sama?
Kate Capshaw & Stephen Spielberg
"Indiana Jones and the Temple of Doom" (1984) mungkin bukan filem Indiana Jones arahan Steven Spielberg yang paling berjaya, dan Spielberg sendiri mengakuinya. Namun menurut pengarah prolifik ini, "Saya mungkin tak dapat banyak keuntungan dari filem tersebut, tapi saya tetap bertuah kerana menemui isteri saya melalui filem itu!"
Kate Capshaw, pelakon yang melakonkan watak si Willie yang menjengkelkan dalam filem tersebut menarik perhatian Spielberg dan pada tahun 1991, mereka mendirikan rumah tangga.
Suzy Amis & James Cameron
James Cameron tidak jatuh cinta di lokasi hanya sekali. Dia pernah mengahwini penerbit filem Gale Ann Hurd dan pengarah tersohor Kathryn Bigelow. Dia jatuh cinta dengan pelakon Linda Hamilton hanya selepas bertemu buat kali kedua melalui filem "Terminator 2" pada tahun 1991, namun hanya bertahan seketika. Malah Hamilton menyalahkan kehancuran perkahwinan mereka di atas hubungan sulit antara Cameron dan pelakon Suzy Amis, yang ditemuinya menerusi filem arahannya, "Titanic" ketika itu.
Amis mengahwini Cameron pada tahun 2000 selepas Cameron menyelesaikan kes perceraiannya dengan Hamilton dan kini dikurniakan tiga orang anak.
Jenna Dewan & Channing Tatum
Jenna Dewan dan Channing Tatum dipertemukan dalam filem berkonsep tarian, "Step Up" pada tahun 2005 dan menjalin hubungan cinta selama tiga tahun sebelum mereka bertunang di Maui pada tahun 2008 dan berkahwin pada tahun seterusnya.
Mereka juga baru sahaja dikurniakan seorang anak perempuan bernama Everly akhir Mei lalu.
Jennifer Aniston & Justin Theroux
Selepas perkahwinannya dengan Brad Pitt musnah pada tahun 2005, Aniston pernah bercinta dengan beberapa selebriti terkenal termasuk bintang komedi Vince Vaughn yang turut berganding dengannya dalam filem "The Breakup", selain pemuzik John Mayer yang terkenal dengan sifat buaya. Namun malangnya, kedua-dua selebriti ini bukanlah jenis yang mahu mendirikan rumah tangga.
Namun begitu, ketika dia berlakon dalam filem "Wanderlust" pada tahun 2011, Aniston didekati oleh pelakon Justin Theroux yang melakonkan watak antagonis Seth dalam filem yang sama. Theroux, yang juga seorang penulis lakonlayar yang terkenal melalui hasil tulisannya seperti "Tropic Thunder" dan "Iron Man 2", kemudiannya melamar Aniston pada tahun 2012.
Natalie Portman & Benjamin Millepied
Ketika Natalie Portman sedang menjalani penggambaran untuk filem "Black Swan" pada tahun 2009, dia mula berkenalan dengan penari balet Perancis, Benjamin Millepied yang menjadi jurutari rasmi filem tersebut. Tahun berikutnya, Portman mengumumkan pertunangannya dengan Millepied sekaligus memberitahu media bahawa dia sedang hamil.
2009 sehingga 2012 merupakan tahun yang bahagia buat Portman. Dia menerima pujian untuk lakonannya dalam "Black Swan", memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik anugerah Oscar untuk watak Nina, dikurniakan seorang anak dan seterusnya mengahwini Millepied, mengikut susunan tersebut.
Liev Schreiber & Naomi Watts
Schreiber bertemu bintang jelita kelahiran Australia, Naomi Watts ketika mereka sama-sama membintangi filem "The Painted Veil" (2006), ketika Watts baru berpisah dengan teman lelakinya Heath Ledger. Mereka terus bersama sejak itu, malah Watts melahirkan anak pertama mereka, Alexander Pete pada tahun 2007, dan Samuel Kai pada tahun 2008.
Namun tiada siapa yang pasti sama ada mereka berdua sudah pun mendirikan rumah tangga, sekalipun Watts pernah mengatakan bahawa Schreiber pernah menghadiahkan cincin kepadanya pada tahun 2010. Jelas Watts, mereka berdua masih belum tergesa-gesa untuk merasmikan hubungan tersebut.
Hugh Jackman & Deborra Lee Furness
Dia antara pelakon terseksi Hollywood, tapi ramai yang kecewa apabila mendapat tahu bahawa bintang Australia ini telah pun berumah tangga sebelum membuat kemunculan di Hollywood. Jackman bertemu dengan isterinya, pelakon, pengarah dan penerbit Deborra Lee Furness ketika dia belum dikenali di serata dunia, ketika sama-sama membintangi drama TV Australia yang berjudul "Corelli".
Jackman dan Furness melangsungkan perkahwinan mereka di Melbourne pada tahun 1996 selepas setahun bercinta dan kini membela dua orang anak angkat, Oscar Maximillian dan Ava Eliot.
Jennifer Connelly & Paul Bettany
Bintang jelita Jennifer Connelly mungkin melakonkan watak Alicia, isteri kepada Profesor John Nash yang menderita penyakit skizofrenia dalam filem "A Beautiful Mind". Tapi ibu kepada seorang anak lelaki ini akhirnya jatuh cinta kepada pelakon Inggeris Paul Bettany yang memainkan watak 'rakan imaginasi' Nash yang bernama Charles Herman.
Dua tahun kemudian, pada 1 Januari 2003, pasangan ini melangsungkan perkahwinan mereka dalam sebuah majlis tertutup di Scotland, dan melahirkan anak pertama mereka Stellan pada tahun yang sama. Anak perempuan mereka, Agnes Lark dilahirkan tujuh tahun kemudian.
Goldie Hawn & Kurt Russell
Bintang jelita Goldie Hawn pernah berkahwin dua kali dengan penari Gus Trikonis dan pemuzik Bill Hudson. Namun begitu, selepas perceraian keduanya dengan Hudson, Goldie Hawn mula serius dengan pelakon terkemuka, Kurt Russell, yang sebelum ini pernah berganding dengan Hawn dalam filem "The One and Only", "Genuine" dan "Original Family Band".
Mereka mula bercinta selepas dipertemukan dalam filem keempat mereka bersama, "Swing Shift" pada tahun 1983. Russell ketika itu pula sedang dalam proses perceraian dengan isteri pertamanya, pelakon Season Hubley. Malah selepas mereka bersama, Hawn dan Russell sekali lagi berganding dalam filem "Overboard". Sekalipun mereka tidak pernah berkahwin, Hawn dan Russell mempunyai anak bersama, Wyatt Russell, malah anak-anak Hawn; Oliver dan Kate juga menganggap Russell seperti bapa kandung mereka.
Sarah Michelle Gellar & Freddie Prinze, Jr
Gellar dan Prinze bertemu kali pertama ketika bekerjasama dalam filem seram remaja, "I Know What You Did Last Summer" pada tahun 1997, sekalipun tidak melakonkan watak sebagai pasangan kekasih. Namun percintaan mereka hanya bermula pada tahun 2000, sebelum mendirikan rumah tangga di Mexico dua tahun kemudian.
Selepas berkahwin, mereka digandingkan semula sebagai pasangan kekasih Fred dan Daphne dalam filem "Scooby Doo" dan "Scooby Doo 2: Monsters". Gellar dan Prinze juga mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan mereka – Charlotte Grace dan Rocky James.
Will Smith & Jada Pinkett
Berbeza dengan yang lain, sekalipun Smith dan Pinkett bertemu di lokasi, mereka tidak berlakon bersama. Pada tahun 1990, mereka bertemu di set sitkom popular Smith, "The Fresh Prince of Bel-Air" apabila Pinkett muncul untuk ujibakat watak Lisa Wilkes, teman wanita karakter Smith.
Malangnya, Pinkett gagal mendapat watak tersebut apabila ia diberikan kepada pelakon Nia Long. Tapi dia lebih bertuah dari itu, kerana sejak itu, Pinkett dan Smith menjadi semakin rapat dan mula bertemujanji pada tahun 1995, selepas Smith dan isteri keduanya, Sheree Zampino berpisah. Pada tahun 1997, mereka melangsungkan perkahwinan di Baltimore, Maryland. Mereka kini ibu bapa kepada dua orang anak, pelakon popular Jaden, dan penyanyi popular, Willow. Pinkett turut menerima anak pertama Smith, Trey seperti anaknya sendiri.
No comments
Post a Comment