NEW YORK – Seorang pramugari syarikat penerbangan American Airlines akan menyaman majikannya selepas dia dituduh cuba menyeludup beberapa ekor tikus peliharaan dalam satu penerbangan antarabangsa, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Menurut akhbar berkenaan, aduan tersebut dibuat oleh beberapa rakan sekerjanya.
Pramugari bagi penerbangan menuju ke Long Island di sini Louann Giambattista, 55, berkata, tuduhan itu menyebabkan dia disenarai hitam oleh pihak kastam Amerika Syarikat selama setahun.
Pramugari veteran itu mahu menuntut sejumlah ganti rugi ekoran dirinya mengalami gangguan tekanan akibat insiden tersebut.
Laporan New York Post menyatakan Giambattista mengakui bahawa dia seorang penggemar haiwan.
Namun, wanita itu menafikan tuduhan dia menyeludup tikus ke dalam kapal terbang dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak munasabah.
Peguamnya, Stephen Morelli berkata, anak guamnya mengetahui masa dan tempat yang sesuai untuk bermain dengan haiwan peliharaan.
“Ramai orang memiliki haiwan peliharaan. Anak guam saya menyimpan tikus peliharaannya di rumah dan bukan membawanya ke dalam pesawat,” kata Morelli. – Agensi
No comments
Post a Comment