PENYANYI Isma (AF7) tidak serik untuk bergelar pengarah walaupun filem pertama arahannya iaitu Sofazr The Movie hanya mengutip RM150 ribu di pawagam selepas ditayangkan pada 27 September 2012.
Isma atau nama sebenarnya Ismaliza Ismail, 34, berkata, kegagalan filem itu untuk mendapat kutipan terbaik adalah kerana ia bersaing dengan filem Hantu Kapcai yang membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Zizan Razak, Remy Ishak dan Neelofa.
“Saya tak anggap saya gagal kerana ketika itu filem saya bersaing dengan filem komedi, Hantu Kapcai. Pada ketika itu genre komedi lebih mendapat sambutan berbanding filem genre lain.
“Walaupun begitu, apa yang penting filem arahan pertama saya itu tidak rugi. Selepas ia disiarkan di Astro First, kutipannya sudah balik modal. Ia turut membanggakan saya,” katanya kepada mStar Online.
Isma berkata, walaupun ada pihak beranggapan kegagalan itu disebabkan pengalamannya yang kurang dalam dunia pengarahan tetapi pendapat tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk aktif sebagai pengarah filem pada masa depan.
Malah kata ibu kepada lima orang anak berusia antara 5 hingga 13 tahun ini, kritikan adalah sesuatu yang baik untuknya memperbaiki kelemahan dirinya.
“Saya terima segala kritikan tetapi ia bukan bererti saya akan berhenti untuk menjadi pengarah. Malah saya juga akan aktif dalam kerja-kerja penerbitan filem pada masa akan datang,” katanya.
Tambah dia lagi, sebab lain kegagalan Sofazr The Movie apabila filem itu dibikin dengan peruntukan yang rendah membuatkan banyak perkara yang ingin disampaikan dalam karya itu menjadi terbatas.
Dalam perkembangan lain menurut Isma, bersama syarikat produksi Nusanbakti Corporation, pihaknya bercadang untuk menghasilkan tiga buah filem lagi pada masa terdekat.
Malah karya terbaharu selepas Sofazr The Movie iaitu filem Hello juga telah siap dihasilkan dan sedang menanti untuk menemui penonton pada tahun ini.
“Menerusi filem Hello saya bertindak sebagai penerbit sementara A.R Badul menjadi pengarahnya. Saya juga menaruh keyakinan filem romantik komedi ini akan mendapat sambutan walaupun sudah dua tahun tertangguh,” katanya.
Hello membariskan pelakon seperti Fizo Omar, Dayana (Anak Wayang), Nas Adila AF7, Herman Tino serta peserta Raja Lawak antaranya Along Cham, Angah dan Taukey.
Dalam pada itu bercerita aktivitinya pada bulan Ramadan, Isma bersama Kumpulan Asli Seri Mawar dan Linda (Eva) mengadakan persembahan bagi menghiburkan orang ramai berbuka puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada setiap malam.
Dia juga turut teruja pabila single terbaharunya iaitu Pak Pong 2013 yang dihasilkan dengan kolaborasi Saifuil Apek dan Altimet itu semakin mendapat sambutan pendengar. – mStar
No comments
Post a Comment