Bangkok- Anak panda, Lin Ping yang kini berusia empat tahun bukan sahaja terkenal di Thailand, malah kos untuk mengekalkannya di negara berkenaan menelan perbelanjaan $1 juta setahun.
Jumlah itu perlu dibayar kepada China memandangkan kerajaan Thailand memohon untuk menyambung kontrak Lin Ping, sebelum ia dipulangkan ke negara berkenaan.
Perjanjian itu dicapai antara China dan Thailand selepas kedua-dua negara mengadakan rundingan selama enam bulan.
Tiada tempoh pemulangan ditetapkan namun Lin Ping boleh menetap di Thailand sehingga 15 tahun.
“Kos ini empat kali lebih tinggi berbanding kontrak lama yang hanya mengenakan bayaran sebanyak $250,000 untuk meminjam Lin Ping. Namun kami (Thailand) menerimanya,’’ kata Menteri Luar Thailand, Surapong Tovichakchaikul.
Tahun lepas, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra meminta kerajaan China mempertimbangkan untuk menyambung kontrak panda itu yang bakal berakhir pada 27 Mei ini.
Lin Ping dilahirkan di zoo di Chiang Mai oleh pasangan panda yang dipinjamkan oleh kerajaan China kepada Thailand.
Kelahiran Lin Ping menjadi terkenal hinggakan ia menjadi tarikan kepada orang ramai.
Bagaimanapun kebiasaannya, anak panda yang dilahirkan di luar negara, harus dipulangkan semula ke China bagi tujuan pembiakan.
No comments
Post a Comment