Dalam kejadian jam 7.10 petang itu, mangsa, Tan Ng Choun, 57, maut selepas cedera parah akibat tersepit di pagar konkrit kerana dirempuh kereta dipandu anak lelakinya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, kejadian berlaku di hadapan rumah mangsa yang berjarak lebih kurang 50 meter dari rumah anaknya.
“Mangsa sebelum itu mengunjungi rumah anak lelakinya yang berusia 27 tahun yang terletak berdekatan untuk menyelesaikan masalah keluarga mereka membabitkan teman lelaki ibunya.
“Namun selepas gagal mencapai jalan penyelesaian, mangsa pulang ke rumahnya menunggang motosikal sambil diekori anak lelakinya yang memandu kereta,” katanya.
Abdul Rahman berkata, sebaik menghampiri pintu pagar rumah, anak lelakinya bertindak merempuh ibunya yang berada di atas motosikal menyebabkan mangsa tersepit.
“Rempuhan kuat itu bukan sahaja menyebabkan dia mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian tetapi turut menyebabkan pagar konkrit di rumahnya runtuh.
“Beberapa jiran yang terkejut melihat kejadian itu kemudiannya cuba membantu mangsa sebelum mereka bertindak menghubungi polis kemudiannya,” katanya.
Abdul Rahman berkata, punca pergaduhan dua beranak itu besar kemungkinan disebabkan oleh tidak puas hati anak mangsa terhadap teman lelaki ibunya.
“Sejak kematian suaminya, mangsa menjalin hubungan dengan seorang lelaki tetapi tidak disenangi oleh anak lelakinya itu.
“Mereka dikatakan sering bergaduh berkaitan masalah berkenaan, bagaimanapun polis perlu melakukan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian itu,” katanya.
Abdul Rahman berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian dan kini direman selama seminggu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Seberang Jaya sejurus selepas itu. - SINAR HARIAN ONLINE
No comments
Post a Comment