GUNS N’ Roses menghiburkan peminat selepas perlumbaan Grand Prix Formula 1 di Sepang, malam tadi. |
Kehadiran kumpulan rock dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu sememangnya menjadi tumpuan berikutan pertama kali mengadakan persembahan di negara ini sejak ditubuhkan pada 1987.
Kumpulan terbabit yang diketuai penyanyi yang juga satu-satunya anggota asal Guns N’ Roses iaitu Axl Rose muncul tepat jam 8 malam membawakan lagu popular mereka antaranya Welcome to the Jungle, You Could Be Mine, Estranged, Rocket Queen, Mr Brownstone, Sweet Child O’Mine dan November Rain.
Walaupun tanpa anggota asal sebagaimana di puncak kegemilangan mereka dulu seperti Slash (gitar), Izzy Stradlin (gitar), Duff McKagan (bass) dan Steven Adler (dram), Axl Rose bersama barisan anggota barunya tetap mantap dalam persembahan mereka.
Terdahulu, konsert yang diadakan sempena perlumbaan Grand Prix Formula 1 (F1) Malaysia turut menampilkan artis tempatan iaitu kumpulan Estranged dan Twilight Action Girl.
Guns N’ Roses dilabel sebagai antara kumpulan rock paling berjaya di dunia apabila album sulung mereka, Appetite For Destruction mencetus fenomena dengan terjual lebih 30 juta unit di seluruh dunia.
No comments
Post a Comment