KUALA LUMPUR: Satu kempen bagi memungut dana telah dilancarkan bagi menggalakkan pihak swasta membantu dalam usaha pencarian pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Menurut laporan NBC News, kempen yang dilancarkan sehingga kini telah berjaya meraih enam ribu dolar (RM 19.2 ribu), hanya sehari selepas ia dilancarkan dengan sasaran untuk meraih lima juta dolar (RM 16 juta) menjelang 8 Julai ini, atau empat bulan selepas pesawat MH370 bersama 239 anak kapal dan penumpangnya hilang.
Salah seorang pengasas tabung terbabit, Sarah Bajc berkata pihaknya yakin dapat mencapai sasaran terbabit, malah mampu melepasi sasaran itu.
Teman lelaki Bajc, Philip Wood adalah salah seorang dari penumpang pesawat terbabit.
Bajc melancarkan tabung itu bersama empat ahli keluarga penumpang lain yang berkata mereka tekad mencari punca sebenar pesawat terbabit hilang.
Mereka adalah Ghislain Wattrelos, dimana anak dan isterinya adalah penumpang pesawat, Peter Weeks dimana saudara lelakinya adalah penumpang pesawat, serta K. S. Narendran dan Pralhad Shirseth dimana isteri mereka turut berada di dalam pesawat semasa ia hilang.
“Ketika pegawai mengedarkan data Inmarsat dan kemudiannya mengumumkan isyarat ping yang dikesan adalah tidak betul, maka kami merasakan tiba masanya untuk kami bertindak,” kata Bajc.
Sehingga hari ini dimanakah pesawat MH370 berada masih belum diketahui meskipun misi pencarian besar-besaran telah dilancarkan oleh pasukan dari Malaysia dan Australia.
Bergantung kepada data dari Inmarsat, pihak menyiasat merumuskan pesawat telah hilang di Lautan Hindi ke barat Australia.
Pihak penganjur tabung terbabit juga berharap dengan tercapainya tujuan asal penubuhan tabung ini, ia dapat memberikan penjelasan kepada semua pihak dan mengharapkan kejadian yang sama tidak akan berulang.
Sebuah video turut dimuat naik di Indiegogo.com oleh pengasas projek terbabit yang turut mendakwa wujud teori konspirasi dalam kehilangan pesawat itu.
Pemimpin projek, Ethan Hunt turut dilihat memegang pemidang dengan tertera perkataan “Kebenaran ada di luar sana, seseorang pastinya tahu perkara sebenar!”
Menurut laman web terbabit juga, satu imbuhan lumayan turut akan diberikan kepada mereka yang memberikan maklumat. Satu laman web untuk penyiasat dan pemberi maklumat yang bersifat lebih selamat dan rahsia juga akan dilancarkan 15 Jun ini menurut salah seorang ahli keluarga penumpang yang terbabit. – Awani
No comments
Post a Comment