PETALING JAYA: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah menghantar Biro Siasatan Pusat (FBI) untuk membantu siasatan misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, selepas mengambil kira tiga rakyat negara itu turut tersenarai antara penumpang yang menaiki pesawat tersebut, lapor LA Times pada Ahad.
Seorang pegawai kanan penguatkuasa undang-undang di Washington berkata, penumpang keempat yang digambarkan sebagai seorang bayi yang turut berada di dalam pesawat itu dijangka warga negara AS.
“Ia membolehkan kami terlibat dalam kes ini. Namun buat masa ini apa yang berlaku merupakan satu yang misteri,” kata pegawai itu.
Pada awal pagi Sabtu, pesawat yang membawa seramai 239 penumpang termasuk 12 anak kapal menuju ke Beijing hilang dari radar pada pukul 1.30 pagi, kurang sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsan Kuala Lumpur (KLIA).
Pesawat tersebut tidak menghantar sebarang isyarat kecemasan dan lokasi terakhir dikesan di 120 batu nautika di timur Kota Bharu di perairan Laut China Selatan.
Pesawat itu dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi Sabtu.
No comments
Post a Comment