KUANTAN: Seorang wanita warga emas cedera di leher selepas disamun seorang lelaki bersenjata parang panjang di rumahnya di Kampung Baru Jara dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian 6.10 pagi itu, mangsa berusia 67 tahun itu baru hendak menunaikan solat subuh di ruang tamu rumahnya sebelum terdengar bunyi kuat dari arah dapur.
"Selepas menendang pintu dapur rumah, suspek meluru masuk sambil mengacukan parang panjang ke leher mangsa serta mengugutnya dan pada masa yang sama suspek merampas rantai dan gelang emas dipakai mangsa.
"Selain itu suspek turut melarikan sebuah beg milik mangsa yang mengandungi wang tunai RM3,000 menjadikan jumlah kerugian yang dialami mangsa RM18,000," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, suspek kemudian melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di dalam sebuah kereta di luar rumah.
Katanya, suami mangsa, 60-an yang balik menunaikan solat Subuh di masjid berhampiran membawa mangsa mendapatkan rawatan di klinik sebelum membuat laporan di Balai Polis Maran.
- BERNAMA
No comments
Post a Comment