Kuala Terengganu: Sukar untuk membayangkan kesengsaraan seorang budak lelaki berusia enam tahun Kampung Wakaf Beruas, di sini, kerana bukan saja kaki kirinya tersepit pada gegancu motosikal, malah sebahagian tapak kakinya itu putus, kelmarin.
Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Muhammad Farhan Haikal Aminudin Afandi baru keluar dari kedai bunga ibu saudaranya dan membonceng motosikal ditunggang bapa saudaranya yang berusia 31 tahun untuk pulang ke rumah di kampung sama.
Dalam perjalanan, Muhammad Farhan Haikal dikatakan menggerakkan badannya untuk menyimpan wang RM2 yang diberi ibu saudaranya ke dalam poket seluar.
Bagaimanapun tindakannya itu menyebabkan kaki kirinya termasuk ke dalam gegancu tanpa disedari menyebabkan dia terjatuh dari motosikal ketika bapa saudaranya membelok untuk ke satu gerai pisang goreng.
Menurut ibu mangsa, Aira Hartieny Mahad, 28, adik iparnya terkejut melihat anak sulungnya daripada dua beradik itu tiba-tiba terjatuh dari motosikal.
Katanya, adik iparnya yang panik melihat kejadian itu segera menghentikan motosikal dan mengangkat anaknya yang mengerang kesakitan.
“Ketika mengangkat Muhammad Farhan, adik ipar tambah terkejut apabila mendapati separuh kaki kiri anak saya sudah putus akibat tersepit pada gegancu motosikalnya.
“Dia yang panik terus mengambil cebisan daging kaki Muhammad Farhan yang terjatuh berdekatan motosikal dan membawanya bersama Muhammad Farhan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan bantuan ahli keluarga,” katanya ketika ditemui, semalam.
Surirumah itu berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan bergegas ke HSNZ sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Menurutnya, setiba di hospital dia tidak dapat menahan sebak selepas melihat sendiri keadaan kaki kiri anaknya yang putus.
Katanya, harapan untuk melihat kaki anaknya pulih berkecai apabila doktor memaklumkan kaki anaknya gagal disambung kerana bahagian cebisan kaki itu sudah hancur.
No comments
Post a Comment